30 September 2010

Exco Selangor nafi tumbuk Kottapan

UM - 30/9/10

SHAH ALAM 29 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar menafikan dakwaan kononnya dia telah menumbuk pencabarnya, S. Kottapan pada pemilihan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja di Bukit Naga di sini Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri itu berkata, dakwaan Kottapan tersebut adalah fitnah dan hanya mahu memburukkan imejnya.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis untuk mempertahankan dirinya dan menafikan kejadian tersebut telah dibuat di sebuah balai di Damansara, Petaling Jaya dekat sini Ahad lalu.

Xavier yang menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan samseng berkata, beliau juga tahu tentang satu laporan polis yang dibuat oleh Kottapan berhubung insiden tersebut.

“Saya menafikan telah menumbuk Kottapan tetapi semasa kejadian, saya ada menghalang seorang individu yang cuba mengoyakkan kertas undi di dalam dewan.

“Ketika itu berlaku kekecohan dan ada ramai yang datang dan berlaku tarik-menarik. Tetapi keadaan itu berjaya dikawal dalam beberapa minit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan dia menumbuk Kottapan pada pemilihan peringkat cabang PKR Kota Raja Ahad lalu.

Dakwa Xavier, beliau menghalang cubaan mengoyak kertas itu atas kapasitinya sebagai Ketua Cabang.

Tambahnya, hasil tindakannya itu berjaya menyelamatkan 20 kotak undi dan kesemuanya telah dihantar ke pusat pengundian di Damansara untuk dikira.

Xavier memberitahu, beliau gembira apabila keputusan pemilihan yang diumumkan hari ini memihak kepadanya.

“Saya menang dengan majoriti yang besar. Keputusan keseluruhan saya mendapat 919 undi, sementara Kottapan 151 undi dan seorang lagi calon iaitu M. Telaiembalam pula hanya mendapat 144 undi,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: