30 September 2010

PKR tetap salahkan 'pihak luar' tanpa dedah bukt

UM - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus mempertahankan dakwaan bahawa 'pihak luar' telah menyebabkan berlakunya kekecohan sewaktu pemilihan peringkat cabang parti itu, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun sekadar mengatakan dakwaan tersebut adalah berasas tanpa mahu mendedahkan sebarang bukti mengenai identiti 'pihak luar' yang dimaksudkan itu.

"Ini kerana modus operandi kekacauan di cabang-cabang berkenaan adalah sama. Jadi komen kita berasas, itu alasan yang kukuh.

"Namun mengenai identiti kumpulan yang dimaksudkan itu, awak kena tanya Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Nik Nazmi diminta mengulas cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahukan Saifuddin mendedahkan identiti kumpulan didakwa sebagai anasir luar yang menimbulkan kekacauan dalam beberapa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Ahad lalu.

Dalam beberapa mesyuarat Ahad lalu, kekecohan antaranya berlaku di cabang Kapar, Klang, Petaling Jaya Selatan dan Subang sehingga menyaksikan pertembungan di antara beberapa kumpulan dalam PKR sehingga menyaksikan insiden kerusi dibaling serta kertas undi bertaburan.

Pada satu sidang akhbar kelmarin, Saifuddin tampil memberikan alasan kejadian itu merupakan usaha anasir luar yang sengaja mahu memporakperandakan perjalanan pemilihan parti tersebut.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada akhbar ini memberitahu, satu sidang akhbar khas akan diadakan minggu depan bagi menjelaskan dakwaannya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: