30 September 2010

BNM dipuji pakar ekonomi luar

UM - 30/9/10


Robert SUBBARAMAN

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pakar ekonomi antarabangsa dari Nomura International (Hong Kong) Ltd. (Nomura) memuji Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mengambil langkah yang dianggap sebagai bijak dalam menangani krisis kewangan dunia.

BNM merupakan bank pusat yang pertama di Asia bertindak menaikkan kadar faedah dalam proses memulihkan ekonomi.

Pengarah Urusan dan Ketua Penganalisis Ekonomi Asia (tidak termasuk Jepun) Nomura, Robert Subbaraman berkata, pada tahun ini sahaja, BNM telah mengambil tindakan yang lebih ke hadapan dengan menaikkan tiga kali kadar faedah.

Katanya, BNM juga dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali lagi mulai suku pertama tahun depan bagi memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan dalam sistem kewangan.

''Saya fikir BNM melakukan tugas yang menakjubkan dan menonjolkan kebebasannya (bertindak) selain memainkan peranan penting di Asia,'' katanya dalam satu perbincangan meja bulat tentang potensi pasaran Asia kecuali Jepun bersama media di sini hari ini.

Nomura mempunyai lebih 30 pakar ekonomi di seluruh dunia dan mempunyai lebih 20 profesional dalam bidang ekonomi di Asia.

Subbaraman meramalkan mata wang ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, Nomura meramalkan nilai ringgit terus mengukuh berbanding sedolar AS pada kadar 3.00 pada tahun depan dan 2.80 pada akhir 2012.

''Jadi, Malaysia perlu sentiasa memastikan pasarannya kompetitif berikutan mata wang ringgit yang terus mengukuh,'' kata beliau, sambil menambah, Malaysia perlu membentuk persekitaran perniagaan yang menarik untuk pelabur-pelabur asing.

Selain menawarkan persekitaran menarik, beliau berkata, negara ini boleh meningkatkan pertumbuhan melalui pendidikan, sumber manusia dan kemudahan infrastruktur awam yang merupakan elemen penting untuk menarik pelaburan syarikat multinasional (MNC).

Di samping itu, jelas beliau, Malaysia perlu meliberalisasi lagi pasaran modalnya.

Kata Subbaraman, dalam meliberalisasi pasaran modal, syarikat-syarikat kecil juga berpeluang mendapatkan pembiayaan dengan mudah dan membangunkan perniagaan masing-masing.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: