29 September 2010

Pas akui berdepan cabaran besar

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pas mengakui bakal berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil kawasan itu kelak.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pas menyedari hakikat itu kerana kawasan berkenaan terletak di bawah Parlimen Gua Musang yang diwakili Ketua UMNO bahagian tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu katanya, cabaran turut dirasakan kerana dua lagi DUN yang terletak di bawah Parlimen tersebut iaitu Nenggiri dan Paloh turut dikuasai oleh UMNO.

“Saya tidak memandang rendah dan meremehkan kekuatan lawan kerana majoriti yang dimenangi penyandang sebelum ini cuma 646 undi.

“Kita tidak mahu cakap besar, tetapi apa yang penting Pas sentiasa berada dalam keadaan cukup kuat untuk mempertahankan kerusi itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut hari ini.

Salahuddin bagaimanapun tetap yakin bahawa Pas berkemampuan untuk mempertahankan kerusi itu di sebalik cabaran besar yang bakal dihadapi.

“Saya yakin dan percaya kerusi itu tetap dapat dipertahankan kerana Pas bukan sahaja telah membuat persiapan untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil malah turut bersedia berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Pada 3 Oktober ini akan berlangsung mesyuarat Pas Pusat dan pastinya persediaan parti untuk mengekalkan kerusi di Galas akan turut dibincangkan. Pastinya kita akan menyediakan yang terbaik,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: