29 September 2010

BN pilih anak tempatan terbaik

BH - 29/9/10

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


Calon dari UMNO dijangka diberi kepercayaan rebut kerusi DUN Galas

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memilih calon tempatan yang terbaik untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon terbabit akan dipilih dari UMNO Bahagian Gua Musang yang akan diputuskan kepemimpinan parti apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan berlaku kekosongan kerusi, sekali gus mengisytiharkan pilihan raya kecil di DUN itu.

Timbalan Perdana Menteri juga percaya Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan membantu bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

“Kita ada rekod dulu yang pernah kita menang dan juga pernah kita kalah (pada pilihan raya DUN Galas). Jadi peluang kita (untuk menang) adalah 50:50.

“Apa pun seperti biasa, kita tidak akan mengambil mudah dan perkara ini tentulah akan dihadapi dengan tentangan hebat daripada PAS. Namun biasalah... dalam sistem demokrasi, kita akan bertanding atas semangat demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama pada Forum International Herald Tribune bertajuk ‘Permulaan Dekad Baru: Pelaburan Alternatif di Asia’ di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Che Hashim memenangi kerusi DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang, dengan majoriti 646 undi selepas menewaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa dukacita bagi pihak UMNO kepada keluarga Chek Hashim, serta memohon semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

“Sebagaimana biasa, apabila diumumkan oleh SPR (bahawa) berlaku kekosongan di kawasan (DUN) Galas nanti, maka kita akan mengambil langkah yang wajar dan sepatutnya untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

“Malah, selepas kita dimaklumkan perkara ini semalam (kelmarin), kita sudah mengambil perhatian. Insya-Allah, jika ada berlaku kekosongan dan pilihan raya kecil diumumkan SPR, kita akan meletakkan calon terbaik,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: