29 September 2010

Anwar tidak disenangi ahli parti

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Kekecohan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah berpunca daripada ahli parti itu yang tidak berpuas hati dengan pakatan Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ia bukan membabitkan orang luar seperti yang didakwa Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menyifatkan Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang sebagai seorang yang pengecut kerana menyalahkan pihak luar berhubung masalah dalaman yang berlaku dalam parti itu.

"Saya cabar Saifuddin supaya segera tampil mengemukakan bukti dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan kerana mendakwa mempunyai rakaman video mengenai kekecohan yang berlaku.

"Saya yakin beliau (Saifuddin) tidak akan melakukannya kerana ini hanyalah taktik basi PKR yang mahu mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan yang wujud dalam kepimpinan parti itu sekarang," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin semalam bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah mengenal pasti beberapa individu melalui rakaman video dan gambar yang didakwa terbabit dalam perbuatan vandalisme.

Menurut Saifuddin, melalui rakaman itu disahkan bahawa individu yang dikenal pasti terlibat dalam kekecohan itu bukan ahli PKR selain mendakwa wujud elemen provokasi bertujuan mencemarkan imej parti tersebut.

Proses pemilihan peringkat cabang PKR mengalami kekecohan apabila terdapat pertelingkahan antara pemimpin dan ahli parti itu di tujuh cabang melibatkan Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat di Selangor selain Jerai dan Merbok di Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu.

Anuar seterusnya melontarkan pertanyaan kepada Saifuddin adakah beliau terlibat dalam adegan 'lakonan' Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin yang skripnya diatur oleh Anwar apabila cuba mengalih isu mengenai ketidakpuasan hati ahli PKR terhadap kepimpinan parti yang diterajui Anwar-Azmin.

"Di Terengganu, Datuk Zaid Ibrahim langsung tidak mendapat pencalonan bagi jawatan timbalan presiden sedangkan Wan Azizah (yang dikatakan gandingan Zaid) memperoleh pencalonan dari semua cabang.

"Sebaliknya, Azmin mendapat pencalonan penuh di Terengganu bagi mengisi jawatan timbalan presiden manakala Nurul Izzah mendapat pencalonan di hampir semua cabang untuk jawatan naib presiden," katanya.

Beliau juga mempersoalkan adakah kenyataan Saifuddin itu bertujuan menutup pekung sentimen anti Anwar-Azmin dalam PKR serta memanipulasi simpati penyokong Zaid melalui 'watak baik' yang dilakonkan oleh Wan Azizah.

"Ini adalah bukti sandiwara 3A (Anwar, Azmin, Azizah) dalam proses mereka untuk terus mendominasi kepimpinan PKR," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: