29 September 2010

Saifuddin dicabar dedah identiti

UM - 29/9/10

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution mendedahkan identiti kumpulan yang didakwa menjadi anasir luar yang menimbulkan kekecohan di dalam pemilihan peringkat cabang parti itu, Ahad lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk menyokong dakwaannya Saifuddin perlu mengemukakan bukti mengenai kumpulan terlibat sama ada mereka merupakan ejen Barisan Nasional (BN) atau ejen luar negara.

Bagaimanapun beliau yakin dakwaan Saifuddin itu tidak berasas dan tidak perlu dilayan.

‘‘Dakwaan yang tidak berasas ini tidak harus kita layan tetapi saya tetap mahu mencabar Saifuddin supaya memberikan bukti. Beritahu siapa dan dari parti mana mereka ini.

‘‘Sama ada orang luar yang mereka maksudkan ialah kita atau orang dari luar negara, saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan. Oleh itu saya cabar dia kemukakan bukti,’’ katanya selepas menghadiri Forum Pelaburan Asia 2010 di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: