30 September 2010

Siasat paderi hina Islam di bawah Kanun Keseksaan

Bernama - 30/9/10

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa menyiasat segera kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, jika siasatan terhadap kes tersebut dilengah-lengahkan, ia bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.

Jelas beliau, pendakwaan di mahkamah juga perlu disegerakan sekiranya terbukti paderi terbabit bersalah agar semua berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa.

‘‘Dalam kes tersebut, Majlis Peguam berpendapat bahawa penggunaan Akta Hasutan adalah tidak relevan kerana akta berkenaan dilihat tidak objektif.

‘‘Justeru, tindakan harus dilakukan dengan mengguna pakai peruntukan Kanun Keseksaan Seksyen 298 iaitu mengeluarkan perkataan dengan sengaja untuk mengguris hati orang dalam sesuatu agama.

‘‘Seksyen 298A iaitu menyebabkan rasa tidak damai, perpecahan dan rasa tidak senang hati, prejudis kerana alasan agama juga boleh dikenakan. Kedua-dua seksyen itu lebih spesifik berbanding Akta Hasutan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan dengan segera,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberitahu, pihak polis telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan paderi berkenaan yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.

Beliau berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam lama web YouTube itu merupakan satu tindakan biadab dan boleh menggugat keharmonian negara.

Hishamuddin yang berang dengan perbuatan itu seterusnya meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi merangka tindakan yang boleh diambil terhadap paderi terbabit.

Akhbar baru-baru ini melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen mengenai tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah ketika menyampaikan ceramah di sebuah gereja di Kuching.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, dalam dakwaan membabitkan paderi itu, kes 12 individu yang didakwa membawa dan memijak kepala lembu serta menyertai perhimpunan haram membantah pembinaan sebuah kuil di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 28 Ogos tahun lalu boleh dijadikan rujukan.

Dalam kes berkenaan, jelasnya, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kemudiannya menyelar tindakan paderi itu yang dilihat tidak wajar dilakukan dalam keharmonian yang dikecapi di negara ini.

‘‘Niat dia (paderi) pun tidak baik. Perkara sebegini, mengutuk agama orang lain, tidak seharusnya berlaku di Malaysia,’’ tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: