29 September 2010

Pelabur antarabangsa dipelawa

Bernama - 29/9/10


Najib Tun Razak menandatangani buku lawatan semasa melawat Bursa Saham New York, semalam. Turut sama Duncan Niederauer (kanan) dan Anifah Aman.

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pelabur antarabangsa mengambil bahagian dalam Program Transformasi Ekonomi Malaysia yang menawarkan peluang pelaburan perniagaan yang luas menerusi beratus-ratus projek.

Dalam membuat gesaan itu, Najib berkata inisiatif khusus menerusi ETP membabitkan tujuh projek "yang sudah dikenal pasti dan sedia untuk dilaksanakan serta-merta."

Tujuh projek itu dengan pelaburan bernilai RM114.7 bilion, akan dimulakan sebelum akhir tahun.

"Banyak lagi dalam perancangan. Kami mempunyai 131 inisiatif spesifik yang akan menjadi projek ketara, yang akan diumumkan, dan pelabur akan dipelawa untuk menyertainya," kata Najib dalam temu bual pada program bisnes Closing Bell Excess CNBC di New York pada petang Isnin.

Closing Bell Excess merupakan program perniagaan yang ditonton ramai di seluruh dunia yang menemu bual pemimpin, ahli ekonomi terkemuka dan penggerak pasaran.

Najib yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan kepada pelabur bahawa terdapat mekanisma berkesan untuk memastikan pelaksanaan projek bagi merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menerusi pelaburan bernilai AS$1.4 trilion yang diperlukan untuk memacu ETP, Najib berkata, kerajaan sedang "mengenal pasti usaha untuk menghidupkan semula peranan swasta supaya menjadi sektor dominan."

Kerajaan juga sedang mengkaji kira-kira lapan inisiatif reformasi strategik yang akan memacu program transformasi, yang akhirnya akan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan di Malaysia dalam usaha untuk menjadi negara maju.

Najib yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata, Malaysia juga mengambil kira pelaburan yang susut tahun lepas dan realiti dalam pasaran, dengan saingan sengit untuk mendapatkan pelaburan dolar.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah menjadi lebih kompetitif di peringkat global (dan untuk itu), kami telah meliberalisasikan 27 subsektor untuk menarik pelabur antarabangsa.

"Kami sedang mengkaji lebih banyak inisiatif reformasi, selain mengkaji untuk mewujudkan pelan khusus yang akan menarik pasaran.

"Saya rasakan pasaran sudahpun teruja terhadap rancangan itu, oleh itu kami yakin sasaran itu boleh dicapai," kata Najib.

Mengenai ekonomi, Najib berkata, fundamentalnya memihak untuk memacu pertumbuhan.

Angkanya sangat menarik, katanya merujuk peningkatan superlatif 10.1 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini, diikuti pertumbuhan 8.5 peratus pada suku kedua.

"Kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik tahun ini... pastinya kira-kira enam peratus," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kestabilan kewangan Malaysia yang diperkukuh oleh bank dan institusi kewangan, dengan sistem perbankan yang sangat cair dan aktiviti pinjaman yang sangat kukuh.

Sumbangan lain termasuk keyakinan kukuh pengguna, permintaan domestik yang tinggi selain persekitaran luaran dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai rakan dagang yang meletakkan negara pada kedudukan yang baik dan menyumbang terhadap asas ekonomi makronya.

Selain sikap skeptik sesetengah pihak, Najib menegaskan Malaysia sangat fokus untuk menjadi negara maju berdasarkan "satu kriteria yang boleh diukur iaitu KDNK perkapita."

"Tidak guna bercakap mengenai terma umum, lebih baik sasaran kita lebih spesifik. Ya, kami mahu berkembang, kami mahu meningkatkan KDNK perkapita daripada kira-kira AS$7,000 kepada lebih AS$15,000.

"Ia merupakan perjalanan ke arah transformasi besar-besaran," katanya.

Mengenai projek berkaitan infrastruktur, seperti pembangunan tenaga nuklear dan kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura yang dibincangkan akan membuka lebih banyak peluang, Najib menjelaskan bahawa beberapa projek terbabit bukan untuk dilaksanakan serta-merta dan akan dirancang untuk perlaksanaan dalam tempoh empat lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, ia membolehkan pelabur merancang ke hadapan kerana sudah ada arah tuju yang jelas, kata Najib.

Mengenai pandangan bahawa perbicaraan kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjejaskan reputasi negara, Najib berkata, ia bukan membicarakan mengenai politik.

"Ia membabitkan seorang individu terhadap individu yang lain," katanya.

"Dan, ada undang-undang di Malaysia dan badan kehakiman adalah bebas, oleh itu orang ramai perlu menerima hakikatnya," kata Najib.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: