23 April 2008

Dewan Pemuda PAS Sokong MB Terengganu Mohon Dikembalikan Royalti Minyak

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Dewan Pemuda PAS pusat menyokong penuh permintaan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said supaya royalti minyak dikembalikan kepada kerajaan negeri itu untuk membolehkannya melaksanakan pembangunan secara lebih tersusun.
Ketuanya Salahuddin Ayub berkata pergerakan itu berpendapat langkah itu harus diberi perhatian jika kerajaan mahu meningkatkan integriti pentadbiran.
"Dewan Pemuda PAS menolak pendekatan pusat menubuhkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan wang ihsan melalui program pembangunan ke Terengganu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari Selasa.
Ahad lepas, Ahmad dilaporkan meminta kerajaan persekutuan menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak, melalui dana itu atau DKKP, kepada kerajaan negeri.
Ahmad berkata royalti minyak sebanyak lima peratus yang ditarik balik semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 2000 dan digantikan dengan DKKP, perlu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan untuk rakyat di Terengganu.
-- BERNAMA, 23/04/08.

Tiada ulasan: