20 April 2008

UMNO Perlu Segera Tawan Ruang Siber, Fahami Selera Pengundi Muda

Oleh: Wadisu77
Dunia Internet merupakan satu sumber maklumat yang tiada sempadan. Rakyat hari ini lebih banyak menghabiskan banyak masa di depan komputer untuk mengikuti perkembangan negara dan dunia. Sumber ini merupakan tarikan utama di mana media elektronik (TV & Radio) telah menjadi pilihan kedua.
Sewajarnya hal ini tidak harus dipandang remeh kerana para intelektual menggunakan saluran ini untuk mencari maklumat dan berforum.
Golongan intelektual ini pula akan mengkhabarkan apa-apa berita kepada golongan yang buta Internet. Secara tidak lansung maklumat disalurkan pula melalui lisan.
Perbincangan hari ini banyak berlandaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU12) dan sifat kekurangan pada kerajaan yang memerintah.
Ini merupakan nukilan daripada perasaan keseluruhan rakyat amnya dan masyarakat Melayu khususnya.
Setiap hari apa yang dibangkitkan adalah sikap tidak berpuas hati terhadap pembelaan kerajaan kepada masyarakat Melayu. Hanya segelintir yang mendapat manfaat daripada semua yang dirancangkan oleh kerajaan.
Banyak kepincangan yang berlaku terhadap perlaksanaan dasar dan agenda kerajaan.
Semua pelaksanaan ini hanya dikawal oleh sesetengah individu yang berkepentingan dalam kerajaan. Inilah apa yang rata-rata diperkatakan oleh rakyat apabila penulis mendengar bicara rakyat.
Apakah benar ini semua berlaku? Kebenaran inilah yang telah diforumkan di blog-blog. Ini akan menyebabkan Kerajaan BN diserang tanpa disedari kerana ini adalah sumber maklumat nombor satu negara.
Kerajaan harus kembali ke asas perjuangan dengan mengenepikan agenda yang berbentuk peribadi.
Ramai pengundi muda cenderung ke arah pembankang dan mereka ini adalah pengundi yang akan menentukan jatuh bangun kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang. Ini kerana jumlah mereka semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Oleh yang demikian kerajaan harus lebih terbuka dalam media elektronik seperti televisyen dan radio sekiranya mahu menarik golongan ini.
Muhasabah diri dan mesra rakyat harus ditunjukkan kepada masyarakat dan praktikkan ia sebagai budaya dalam kepimpinan.
Pegundi muda tidak lagi memandang tinggi pada mereka yang kaya, berharta, berjawatan tinggi atau ugutan.
Ini kerana mereka ini berfikiran intelektual dan mampu bertindak secara senyap atau agresif dengan ikhlas tanpa perasaan takut. Itulah hasil PRU12, secara senyap-senyap golongan ini melakukan perang saraf untuk parti pembangkang sehingga berjaya menawan lima negeri.
Apa yang dilakukan oleh mereka adalah penuh keikhlasan disebabkan perasaan tertindas yang mereka hadapi.
Jentera inilah yang diperlukan oleh BN khususnya UMNO sendiri. Banyak kepincangan telah berlaku dalam kebajikan kepada pekerja parti kerajaan dalam PRU12 sehingga mereka ini merasa tertipu dengan pemimpin mereka di semua peringkat.
Oleh itu semua kepincangan yang berlaku di peringkat cawangan, bahagian dan negeri telah membawa padah kepada BN dan UMNO pada PRU12. Telah hilang sifat amanah, kejujuran, kemesraan dan ketelusan pada pemimpin hingga menyebabkan UMNO dilihat sebagai parti berkepentingan sendiri oleh rakyat.
Seharusnya kerajaan bertindak cepat menjalankan agenda mendekati rakyat dan mendengar suara akar umbi untuk menarik kembali semua rakyat bernaung di bawah BN.
Kesilapan UMNO harus diperbetulkan secepat mungkin agar rakyat khususnya orang Melayu akan berpadu di bawah payung parti keramat ini.
Ingatilah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu demi agama, bangsa dan negara.
Agenda perubahan perlu dilakukan secepat mungkin tanpa berlengah-lengah kerana semua ini akan dinilai oleh rakyat keseluruhannya.
-- pemudaumno online, 1 April 08.

Tiada ulasan: