21 April 2008

UMNO mesti kembali jadi 'parti kampung'

KEPALA BATAS 20 April - UMNO mesti mengikis imej 'parti eksekutif' yang mula dikaitkan dengan parti itu, sebaliknya kembali menjadi 'parti kampung' dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat bagi meraih semula sokongan setiap lapisan rakyat.
Selain itu, pemimpin UMNO perlu menghayati semula semangat keperwiraan iaitu dengan lantang dan bersungguh-sungguh dalam mendekati serta menyelesaikan setiap masalah rakyat agar mereka menjadi pemimpin yang lebih dihormati.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, sudah ada kecenderungan dalam kalangan rakyat yang mengaitkan UMNO dengan tempat meraih kuasa dan kekayaan, sehingga parti itu semakin jauh daripada masyarakat.
"Ini realiti yang perlu kita akui, sudah ada persepsi-persepsi begini yang mengaitkan UMNO dengan kemegahan, keangkuhan dan kekayaan. Ini bukan imej UMNO yang sebenar. Dalam keadaan kita gah tampil dengan gaya mewah, masalah dan rintihan orang di bawah pula tidak selesai-selesai. Semua ini rakyat lihat dan menilai, inilah yang akan buat orang berjauh hati dengan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah isu-isu semasa anjuran Biro Latihan UMNO Bahagian Kepala Batas di Wisma UMNO di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Hashim berkata, 'parti kampung' bukan bermaksud UMNO perlu mundur semula ke belakang tetapi mengukuhkan pendekatan yang lebih mesra rakyat dengan sering turun padang dalam menyelami masalah masyarakat.
Para pemimpin juga, katanya, hendaklah merapatkan jurang antara mereka dengan orang bawahan dan sentiasa bersedia untuk meluangkan masa bertemu dengan rakyat.
"Janganlah ada orang kata hendak jumpa pemimpin pun susah, selalu sangat sibuk, pemimpin kena sedar bahawa mereka adalah tempat rakyat untuk mengadu dan bergantung harap, jadi (hubungan) itu perlu dijaga," jelasnya.
-- UM, 21/04/08.

Tiada ulasan: