27 April 2008

Ahmad sedia terajui UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU 26 April - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bersedia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu jika dilantik ke jawatan itu oleh pucuk pimpinan parti.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, beliau tidak akan menolak jika ditawarkan jawatan tersebut berdasarkan kedudukannya kini sebagai Menteri Besar Terengganu.
Ini kerana, jelasnya, pada kebiasaannya Menteri Besar akan memegang jawatan tertinggi UMNO di sesebuah negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran dan parti, bagaimanapun terpulang kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukannya.
''Secara tradisinya, Menteri Besar akan memegang jawatan nombor satu dalam parti di sesebuah negeri. Biasanya begitulah dan saya tidak akan menolak jika ditawarkan (jawatan)," ujarnya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Terengganu Equestrian and Country Club (TECC) di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam (YKPA), Datuk Hamzah Mohamad.
Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kini disandang oleh bekas Menteri Besar yang juga ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.
Mengenai pemilihan parti di peringkat bahagian tidak lama lagi jelasnya, UMNO mengamalkan demokrasi dan semua pihak bebas bertanding untuk merebut jawatan itu.
Bagaimanapun, menurutnya, jika pertandingan itu boleh membawa masalah kepada parti, maka lebih elok pihak terlibat berkompromi bagi mengelakkan ia daripada berlaku.
''Bila bertanding nanti ada yang tidak sanggup menerima kekalahan manakala yang menang pula beranggapan dia telah menang semua. Kalau bertanding membawa masalah kepada parti, lebih baik elakkan," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat pembiakan kuda di Terengganu Endurance International Park (TEIP) di Lembah Bidong, Setiu tidak lama lagi.
Tanpa menyebut jumlah peruntukan yang disediakan, beliau berkata, tujuan pusat berkenaan diwujudkan ialah bagi meningkatkan lagi aktiviti sukan berkuda yang semakin popular di kalangan rakyat negeri itu.
''Kita akan mengadakan lawatan ke luar negara bagi meninjau pusat-pusat pembiakan kuda sebelum pusat seumpama itu dibuka di negeri ini," ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata pada masa ini, seramai 60 pelajar Sekolah Elit Lembah Bidong dan beberapa sekolah sekitar Kuala Terengganu sedang menjalani latihan di bawah Riding in School Program dan Pony Club dengan kerjasama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) di TER.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

WAH... Menteri Besar Di Raja Terengganu sudah pandai bercakap soal tamak kuasa, soal tradisi Pengerusi BPUNT hak MB.
Tapi beliau lupa jawatan yang dipegang itu adakah berpegang kepada tradisi.
Siapa yang dapat tauliah menjadi MB dari PM/Presiden parti dahulu?