28 April 2008

Kembali ke matlamat asal UMNO - Shahrir

Oleh KAMIL MASLIH
JOHOR BAHRU 27 April - Perpecahan akibat perebutan jawatan dalam UMNO boleh dielakkan sekiranya semua pihak dalam parti itu kembali kepada matlamat asal memperjuangkan kepentingan masyarakat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perebutan jawatan hanya akan membawa tanggapan bahawa UMNO merupakan parti politik yang terlalu eksklusif sehingga merenggangkan hubungan dengan masyarakat.
"Kalau kita tidak terlalu eksklusif sebagai parti politik dan tidak melihat kepada jawatan dalam parti tetapi melihat kembali kedudukan asal dan tujuan asal kita sebagai parti politik yang membela kepentingan orang ramai, ini akan mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia Malaysia (YMM) daerah Johor Bahru di sini hari ini.
Menurut Shahrir, Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan rancangan pembangunan kerana BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk memelihara kesejahteraan rakyat.
"Ini masa untuk kita bekerja. Kita mempunyai tanggungjawab sebagai kerajaan yang baru mendapat mandat daripada pengundi, kita patut melaksanakan apa yang dijanjikan pada pilihan raya lepas," tegasnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini, Shahrir berkata, beliau masih belum lagi memikirkan mengenainya.
Katanya, beliau berpendapat perkara tersebut tidak perlu terlalu diutamakan memandangkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu didahulukan.
Mengenai cadangan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri dipertandingkan di kalangan ketua-ketua bahagian, Shahrir berkata, hak bersuara dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut adalah lebih penting daripada jawatan itu.
-- UM, 28/04/08.

Tiada ulasan: