28 April 2008

Abdullah Diminta Percepatkan Proses Peralihan Kuasa

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah diminta mempercepatkan proses peralihan kuasa pada Perhimpunan Agung Umno Disember ini bagi membolehkan pemulihan dalam Umno dilakukan.
Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ketika membuat gesaan ini berkata Abdullah telah menamakan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai pengganti dan sehubungan itu adalah wajar proses itu disegerakan."Bila dah announced, kena la ada tarikh. Banyak yang Najib kena perbetulkan.
"To be fair dengan Najib...paling sesuai ialah semasa Perhimpunan Agung Umno Disember ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Khas Perwakilan (EGM) Umno Bahagian Cheras di sini hari Ahad.
Syed Ali berkata beliau menyokong resolusi Umno Bahagian Batu Pahat dalam EGMnya malam tadi yang meminta Abdullah menyegerakan proses peralihan kuasa. Umno Batu Pahat mahu peralihan kuasa itu dibuat sebelum Disember ini.EGM Umno Cheras hari ini meluluskan resolusi 15 perkara. Resolusi itu bagaimanapun tidak menyentuh soal peralihan kuasa oleh Abdullah kepada Najib.
Resolusi itu antara lainya mahu Perdana Menteri diberi ruang meneruskan agenda parti dan pentadbiran negara dan tidak perlu meletakkan jawatan ekoran kegagalan mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Bagaimanapun, Abdullah diminta bertanggungjawab terhadap prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) keseluruhannya termasuk di Pulau Pinang yang telah ditawan parti DAP, PKR dan PAS.Umno Bahagian Cheras turut meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno/BN Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique bertanggungjawab atas kekalahan BN yang memalukan di Wilayah Persekutuan dan mengesyorkan supaya Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengambilalih jawatan itu.
Syed Ali berkata berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kehendak anggota peringkat akar umbi di bahagiannya yang menolak kepimpinan Zulhasnan.
Katanya beliau tidak mempunyai kepentingan menganjurkan EGM itu tetapi ia perlu diadakan untuk mendengar suara anggota di peringkat akar umbi.
Resolusi lain yang diluluskan pada EGM itu ialah meminta sistem kuota dalam pencalonan untuk pemilihan parti dimansuhkan agar Umno dilihat benar-benar demokratik dan keputusannya lebih dihormati.Dalam satu lagi resolusinya Umno Cheras kecewa dan kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Senator Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan kerajaan BN memohon maaf secara terbuka berhubung isu pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas 20 tahun lepas.
Ia turut meminta supaya satu Perhimpunan Agung Khas diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Abdullah dan barisan kepimpinan Majlis Tertinggi mendengar secara jelas dan terbuka apa juga kritikan, saranan dan cadangan anggota parti di peringkat akar umbi.
Umno Cheras juga menyarankan supaya wakil perhubungan negeri yang berucap pada Perhimpunan Agung Umno diberi kebebasan menyampaikan mesej serta suara rakyat di peringkat akar umbi dan bukannya membaca teks ucapan yang telah ditapis dan diperhalusi di peringkat jawatankuasa badan perhubungan negeri.
-- BERNAMA, 27 April, 2008 20:20 PM

Tiada ulasan: