28 April 2008

PM Mahu Umno Bahagian Henti Adakan Mesyuarat Tergempar

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kesemua Umno Bahagian diminta menghentikan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar untuk mendesak peralihan kuasa dalam parti dilaksanakan sebelum Disember ini.
Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah lebih baik tindakan itu tidak dilakukan kerana pucuk pimpinan sudahpun memahami kehendak dan pandangan akar umbi terhadap kerajaan.
"Apa yang rakyat mahu ialah supaya kita tumpukan kepada hal berkaitan kepentingan rakyat dengan tenaga yang ada pada kita.
"Rakyat sokong kita sebab kita ada program-program yang akan kita laksanakan, kalau kita tidak laksanakan, parti kuat macam mana pun rakyat tidak akan terima, jadi janji kita kepada rakyat mesti ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini, hari ini.
Abdullah berkata masalah dalaman parti tidak boleh melekakan tanggungjawab kepada rakyat.
"Proses demokrasi dalam parti tetap akan berjalan semasa pemilihan (Umno) Disember ini, pada masa itu kita undilah, kita tidak perlu gembar-gemburkan, tidak perlu.
"Sebenarnya kita kenal semua dan semua orang tahu apa mereka buat, apa kemampuan mereka, apa kebolehan mereka, apa salah mereka, apa yang tidak elok dengan mereka. Bila tiba masanya kita buat mesyuarat dan masa itulah kita tentukanlah apa yang patut ditentukan," katanya.
Abdullah berkata, jika tindakan itu dilakukan bertujuan menghantar mesej tertentu kepada beliau berhubung peralihan kuasa, ia tidak perlu kerana telah banyak kenyataan mengenai perkara itu disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan.
Setakat ini tiga bahagian Umno iaitu Bahagian Cheras, Gua Musang, Kelantan dan Batu Pahat, Johor telah mengadakan mesyuarat tergempar meminta proses peralihan kuasa dipercepatkan bagi membolehkan pemulihan Umno dilaksanakan segera.
Ketika diminta mengulas mengenai jumlah undi yang diterima Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Abdullah berkata ia satu perkembangan yang baik kerana ini menunjukkan pelantikan Wan Junaidi turut disokong anggota Parlimen pembangkang.
Wan Junaidi yang juga anggota parlimen Santubong dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi bersurat setelah mendapat 157 undi, iaitu melebihi jumlah anggota parlimen BN dalam Dewan Rakyat, yang berjumlah 140 anggota.
-- BERNAMA, 27/04/08.

Tiada ulasan: