28 April 2008

Perdana Menteri Mahu Semua Pihak Hentikan Polemik Keris

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukah semua pihak tidak lagi mengembar-gemburkan kesediaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta maaf berhubung tindakannya menghunus keris tiga tahun lalu, sebagai polemik politik.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai ikhlas dan berani, Perdana Menteri berkata kesediaan Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno memohon maaf kerana menghunus keris dan mencium keris "Panca Warisan" itu pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2005, adalah tindakan yang sebaik-baiknya supaya ia tidak menjadi isu lagi.
Abdullah berkata Hishammuddin berbuat demikian atas kehendaknya sendiri dan tidak mendapat sebarang nasihat sama ada daripada beliau sebagai Presiden Umno atau timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya boleh kata di sini bahawa itu langkah yang berani kerana dia memahami nanti banyak juga orang Melayu yang rasa marah kepada dia kenapa begini (minta maaf).
"Tapi sekurang-kurangnya dalam tindakan yang diambil itu, dia dapat beri fahaman kepada bukan Melayu tentang fungsi dan (kedudukan) keris itu dalam masyarakat Melayu yang tak dapat dipisahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno selama dua jam bermula pukul 5 petang di Menara Dato Onn di sini hari ini.A
bdullah mengulas mengenai tindakan Hishammuddin memohon maaf berhubung isu keris itu kepada orang Melayu dan bukan Melayu pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda BN Jumaat lepas, yang terus menerima reaksi daripada pelbagai pihak.
Perdana Menteri juga meminta semua pihak tidak menyifatkan tindakan meminta maaf Hishammuddin itu sebagai mempunyai agenda tertentu kerana keris sememangnya sudah lama wujud dalam kehidupan orang Melayu.
"Saya juga tak suka perkara ini digembar-gemburkan dan jangan pula jadi isu politik (kerana) ia tiada kena mengena," kata Abdullah yang menyifatkan tindakan itu sebagai kesediaan Umno untuk melakukan pembetulan dalam konteks permuafakatan Barisan Nasional (BN).
Ketika ditanya mengenai Ketuanan Melayu yang dikatakan makin terhakis selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas, Perdana Menteri berkata perkara itu ada disentuh dalam mesyuarat MT hari ini.
Abdullah berkata Ketuanan Melayu perlu dilihat sebagai keupayaan memperkasakan kedudukan orang Melayu selaku pribumi untuk maju dan berjaya tanpa mengambil kepentingan atau memaksa kaum lain.
"Apa yang penting di negara Malaysia ini, orang Melayu yang sememangnya adalah penduduk asli perlu memperkasakan diri supaya dapat maju dan berjaya. Itu penting.
"Kalau tidak maju dan tidak berjaya maka bukanlah tuan. Itulah tempatnya, jadi kuli lah, takkan nak hidup jadi kuli, takkan nak hidup jadi orang tiada peranan dalam pembangunan," katanya.
Beliau berkata Umno juga tidak boleh lupa bahawa kekuatan BN adalah berasaskan kepada muafakat dan kerjasama dengan parti komponen lain dengan Umno menunjangi kekuatan itu.
"Kita bukanlah nak jadi bangsa yang nak 'dominate' orang lain tetapi kita mahu jadi sebuah parti walaupun mewakili orang Melayu tetapi sedia bekerjasama demi masa depan bangsa Malaysia dan kemajuan rakyat Malaysia. Dan dalam kemajuan ini orang Melayu terus maju bersama," katanya.
Abdullah berkata walaupun orang Melayu sudah maju, Umno perlu meningkatkan usahanya untuk memperkasakan kedudukan kaum pribumi itu setanding dengan kaum lain di negara ini.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Abdullah berhubung isu keris itu sebagai langkah ke hadapan, sejajar dengan kehendak rakyat yang mahu perubahan.
Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan memohon maaf itu dan bersedia menerima sebarang risiko.
"Apabila membuat sesuatu keputusan saya ambil kira semua aspek, takkanlah saya tak fikir kedudukan politik saya sendiri. Tetapi dengan ikhlas saya sanggup korbankan karier politik saya sendiri demi parti," katanya.
Hishammuddin berkata beliau tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak dan menjelaskan beliau berbuat demikian supaya isu keris itu tidak lagi dimanipulasi oleh sesiapa lagi pada masa akan datang.
Ketika ditanya adakah beliau akan menghunus keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno akan datang, Hishammuddin berkata, "itu pertimbangan yang akan dibawa kepada Pemuda Umno".
-- BERNAMA, 27/04/08.

Tiada ulasan: