29 April 2008

UMNO Terengganu fail tiga petisyen

Oleh IRMAN HASHIM
KUALA TERENGGANU 28 April – UMNO Terengganu memfailkan tiga petisyen di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung salah laku penyokong dan aktivis parti Pas semasa Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Tiga petisyen tersebut yang dikemukakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosol Wahid melibatkan salah laku penyokong pembangkang itu di kawasan Parlimen Marang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan DUN Manir.
Rosol melalui panel peguam, Tetuan Ahmad Shahabudin & Co. menyerahkan ketiga-tiga petisyen berkenaan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed kira-kira pukul 2.30 petang.
Dalam petisyen melibatkan Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga wakil rakyat kedua-dua kerusi itu dinamakan sebagai defendan pertama manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Marang, Rahman Che Ali sebagai defendan kedua dan ketiga.
Bagi petisyen melibatkan DUN Manir, UMNO Terengganu menamakan ADUN kawasan itu, Datuk Harun Taib sebagai defendan pertama manakala SPR dan pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu, Rozali Salleh sebagai defendan kedua dan ketiga.
Pada sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri selepas itu, Rosol berkata, melalui petisyen-petisyen berkenaan, UMNO Terengganu mahu sesuatu dilakukan terhadap salah laku para penyokong dan aktivis Pas semasa pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, antara salah laku berkenaan adalah menghalang pengundi membuang undi, merampas kad pengenalan pengundi dan menakutkan pengundi daripada keluar mengundi.
‘‘Kami mempunyai dokumen dan bukti kukuh berhubung salah laku penyokong dan aktivis Pas itu malah saksi-saksi kejadian juga bersedia memberi keterangan di mahkamah,” ujarnya.
Beliau berkata, petisyen itu perlu kerana tindakan para penyokong dan aktivis Pas itu menyalahi amalan demokrasi di negara ini.
Semalam, UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi DUN Ladang yang ditolak oleh SPR pada hari pengundian.
-- UM, 29/04/08.

Tiada ulasan: