29 April 2008

Pengarah Jaip diarah bertukar oleh Menteri Besar Perak

SITIAWAN: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.
Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan diminta keluar dari pejabatnya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengesahkan perkara itu berkata, Jamry dihubungi menerusi telefon oleh Mohammad Nizar untuk berbuat demikian tanpa diberi peluang menjelaskan apa-apa bagi membela dirinya.

Tidak pula diberitahu ke pejabat mana Jamry ditukarkan. Sementara itu, Jamry ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini, di Istana Kinta di Ipoh.“

Setakat ini saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya selepas mengadap Sultan petang ini, katanya. —

--Bernama.

Tiada ulasan: