21 April 2008

Kuasa Baru Era Demokrasi Digital

Posted on Monday, March 24 @ 10:52:58 MYT
Dr Novandri Hasan Basri
Pilihanraya Umum tahun 2008 telah menyaksikan kebangkitan satu era baru yang semakin signifikan hari ini iaitu era demokrasi digital. SMS dan media digital internet seperti e-mel, blog dan halaman web dilihat sebagai satu kuasa baru yang sangat efektif serta dapat menyuarakan pandangan rakyat dengan lebih cepat dan terbuka.
Di dalam media-media cetak hari ini berusaha keras untuk memastikan kerelevanan mereka jika dibandingkan dengan kepantasan dan betapa mudahnya menggunakan SMS dan saluran internet, parti BN juga perlu mencari jalan untuk bersaing di dalam alam maya ini.
Realitinya, informasi yang diterima adalah yang terkini dan mampu menghasilkan ledakan perubahan fikiran para pembacanya.
Malah, respons kepada segala persoalan yang diutarakan pula begitu cepat tanpa perlu melalui protokol-protokol ketat dan berlapis-lapis seperti yang sedia ada. Konsep ini telah pun digunakan di negara-negara maju dengan jayanya
Sebagai contohnya, pengunjung web Yahoo.com boleh mendapat informasi terkini mengenai aktiviti-aktiviti calon-calon Presiden Amerika, Hillary Clinton dan Obama yang telah dijalankan hanya 15 minit yang lalu!
Maksudnya, kita tidak perlu lagi menunggu pada esok harinya untuk membaca isu-isu tersebut di dalam media-media cetak.
Inilah yang dinamakan kemajuan, hasil daripada pelaburan wang rakyat yang berjumlah berbilion-bilion ringgit ke arah mewujudkan generasi yang lebih berpelajaran dan intelek.
Ianya telah menghasilkan rakyat yang lebih berilmu dan kritis. Dalam masa yang sama, kita juga terdedah kepada pelbagai bentuk ideologi politik, samada dari dalam mahu pun luar negeri.
Kemunculan era digital di dalam proses memajukan fikiran dan ilmu rakyat ini dipandang sebagai pemangkin kepada kewujudan koridor baru tanpa sempadan dan tanpa sekatan.
Pokoknya, para pemimpin BN perlu akui bahawa internet dan bahan-bahan di dalamnya kini merupakan salah satu daripada santapan utama kerangka pemikiran dan persepsi golongan yang celik IT dan golongan muda hari ini.
Memang benar bahawa golongan muda hari ini kurang berpengalaman, sama juga seperti golongan-golongan muda tahun 60-an atau pun 70-an.
Akan tetapi mereka itu secara realitifnya lebih berpelajaran dan hidup di dalam era yang lebih moden.
Golongan muda ini juga merupakan golongan yang aktif mempersoalkan pelbagai bentuk isu serta sangat bertenaga untuk mencari jawapan kepada semua persoalan yang terlintas di benak fikiran mereka.
Keinginan untuk mengetahui ini menjadi lebih mudah dengan kewujudan internet dan sms, yang sememangnya sangat diminati oleh golongan muda ini.
Ledakan informasi tanpa sempadan ini menjadi satu masaalah apabila parti BN tidak seiring atau pun lambat menggunapakai kemajuan tersebut.
Realitinya, parti BN tidak mempunyai sebarang saluran maklumat yang signifikan dan terkini di alam maya ini.
Malah presentation dan intipati web-web BN terasa kaku dan tiada komunikasi dua-hala yang mampu menarik hati atau pun menjawab dengan pantas kepada persoalan-persoalan rakyat terutamanya golongan muda.
Disebabkan itu, golongan-golongan tersebut akan mencari maklumat-maklumat yang dikehendaki daripada sumber-sumber lain di dalam internet.
Sumber-sumber itu pula biasanya lebih bercorak anti-kerajaan, tidak tepat dan diolah sedemikian rupa hingga berjaya merubah persepsi golongan itu tentang kerajaan yang sedia ada.
Golongan muda ini pula berkemungkinan besar merantau jauh daripada kampung masing-masing dan bekerja di bandar-bandar besar di mana jaringan informasi internet dan sms adalah yang terpadat dan sangat aktif.
Dan apabila mereka balik bercuti dan sebagai seseorang yang berpelajaran, segala informasi yang mereka terima itu akan menjadi bahan bualan serta mampu mempengaruhi keluarga mereka di kampung halaman masing-masing.
Mungkin yang menimbulkan sedikit masaalah ialah kepakaran di dalam bidang komputer dan IT ini turut dimonopoli oleh generasi muda tersebut.
Dan jika sekali imbas kita akan lihat bahawa berlaku jurang umur yang ketara di antara golongan muda ini jika dibandingkan, sebagai contohnya, barisan kabinet kerajaan negeri dan juga Persekutuan Malaysia.
Untuk pengetahuan para pembaca, purata umur menteri-menteri di Malaysia ialah 55 tahun.
Persoalannya,
- Apakah pemimpin-pemimpin yang sedia ada mahu mendapat pandangan ilmiah daripada generasi yang lebih muda usianya?
- Apakah pemimpin-pemimpin itu juga bersedia untuk diajar mendalami satu ilmu asas yang tidak wujud semasa mereka di peringkat persekolahan dahulu?
Di dalam konteks prestasi parti BN yang tidak memberangsangkan semasa pilihanraya umum yang lepas, pemimpin-pemimpin BN tidak mempunyai alternatif lain.
Mereka mesti bersedia untuk belajar dan diajar agar frekuensi serta kerangka pemikiran mereka dapat memahami citarasa golongan-golongan tersebut.
Baru-baru ini, seorang pemimpin kerajaan baru di Pulau Pinang telah mengorak langkah untuk mendekati golongan muda dan pengguna-pengguna internet yang lain dengan menjawab soalan-soalan yang ditujukan kepada beliau melalui saluran internet.
Mode operandi ini dirasakan sangat efektif untuk mendekati generasi era digital ini kerana ianya mudah, tranparens, direct dan jawapan kepada setiap persoalan itu juga cepat diterima.
Pokoknya, parti BN perlu juga bersikap terbuka dan lebih agresif untuk mengeksploitasikan keberkesanan sms dan internet.
Realitinya, minda rakyat serta kemajuan sains dan teknologi akan terus berkembang pesat dan parti BN akan terus gagal jika tidak seiring dengan kemajuan tersebut.
Akhir sekali, kita perlu sedar bahawa golongan yang paling rugi bukanlah mereka yang telah melakukan kesilapan tetapi golongan yang tidak mahu belajar dari kesilapan mereka sendiri, malah terus mengulangi kesilapan tersebut.
-- pemudaumno online.

Tiada ulasan: