16 Julai 2008

Jawatan Presiden, Timbalan boleh dipertandingkan

Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 15 Julai - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh dipertandingkan pada pemilihan UMNO Disember ini kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti itu, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar).
Beliau berkata, walaupun peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimuktamadkan, ia isu yang berbeza dengan pertandingan dalam parti.
Jelasnya, tidak boleh ada satu pihak yang cuba menghalang pihak lain daripada bertanding sebarang jawatan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan parti.
"Sememangnya isu bertanding dan peralihan kuasa adalah dua isu yang berasingan, hak bertanding bukan hak individu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan walaupun selepas proses peralihan kuasa dalam parti itu dimuktamadkan.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan pandangan jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan sungguhpun jangka masa peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib sudah diumumkan.
Hishammuddin berkata, pihaknya akan terus menyokong proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib serta melakukan yang terbaik untuk memastikan ia mencapai matlamatnya.
- UM, 16/07/08.

Tiada ulasan: