15 Julai 2008

Anwar tak muncul

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bharian.com.my
Polis timbang beberapa pilihan untuk ambil tindakan b>KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini dikatakan bersetuju memberi keterangan berhubung dakwaan liwat terhadapnya, tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.Berikutan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, berkata polis menimbangkan tiga atau empat pilihan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Tanpa menghuraikan pilihan yang dimaksudkannya, beliau menegaskan polis akan bertindak berdasarkan lunas undang-undang.“Berilah kita masa. Kita perlu melengkapkan siasatan kerana ada dakwaan (terhadap Anwar),” katanya pada sidang media di sini semalam.Kelmarin, polis secara rasmi menghantar notis mengikut Seksyen 111 KAJ meminta Anwar hadir bagi merekodkan keterangannya mengikut Seksyen 112 KAJ berikutan laporan polis oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, mengenai kes itu pada 28 Jun lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Mohd Bakri berkata, polis sebelum ini dimaklumkan bahawa Anwar akan memberi keterangan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen pada jam 2 petang.“Polis sudah memberinya peluang dan ruang untuk membolehkan kita merakamkan percakapannya mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah tetapi malangnya dia tidak datang. Apa boleh kita buat,” katanya.Ditanya sama ada polis akan menahan Anwar untuk membolehkan keterangannya diambil, beliau berkata tindakan itu termasuk dalam proses undang-undang. “Kita kena pergi selangkah lagi, kita kena lihatlah,” katanya.
Mengenai dakwaan kononnya polis mengganggu keluarga Anwar ketika cuba menyerahkan notis mengikut Seksyen 111 KAJ, beliau berkata itu hanya cakap dengar dan andaian semata-mata.Mohd Bakri berkata, beliau juga tidak menerima sebarang surat yang didakwa dihantar oleh peguam Anwar, Sankaran Nair berhubung keengganan Anwar hadir untuk memberi keterangan semalam.
Sankaran yang dihubungi mendakwa, notis itu diserahkan melalui pihak ketiga, bukannya terus kepada Anwar seperti dikehendaki undang-undang.“Notis itu ditinggalkan polis di pondok pengawal di rumah Anwar. Ketika notis itu cuba diserahkan, ahli keluarga Anwar enggan menerimanya kerana ia bukan atas nama mereka, manakala Anwar pula tiada di rumah.“Oleh itu, kami meminta satu lagi notis dihantar terus kepada Anwar dan saya sudah menghantar surat melalui faksimili kepada Bakri kira-kira jam 5.30 petang tadi (semalam),” katanya.
Sankaran berkata, perintah mahkamah melarangnya berada dalam kawasan lingkungan lima kilometer dari Parlimen semalam turut menjadi punca Anwar tidak hadir.
- BH, 15/07/08.

Tiada ulasan: