3 Julai 2008

Anwar 'tukang lapor' Washington: Syed Hamid

Tindakan Penasihat PKR lapor perkembangan negara dikesali
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkhidmat sebagai 'tukang lapor' kepada Washington mengenai semua perkembangan yang berlaku dalam negara.
Beliau berkata, tindakan Anwar amat dikesali kerana melaporkan segala perkembangan dalam negara kepada Washington, termasuk dakwaan liwat membabitkannya. “
Kenapa Anwar meminta petunjuk negara asing dan bukan daripada rakyat negara ini. Saya fikir untuk menjadi pemimpin negara, beliau mesti bebas bertindak tanpa terikat dengan mana-mana pihak luar.“
Kenapa cepat gelabah memberitahu Washington begitu dan begini. Ini bukan soal politik, tapi soal undang-undang negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas Washington kerana cuba campur tangan dalam urusan negara dengan membuat kenyataan berunsur amaran berhubung dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Anwar.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan Washington yang mahu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Anwar atas alasan kononnya tuduhan itu bermotif politik adalah prejudis terhadap sistem perundangan negara ini. Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey, dipetik agensi berita AFP sebagai berkata, Washington akan menentang sebarang siasatan atau pendakwaan yang didorong oleh politik terhadap Anwar.
Syed Hamid berkata, sudah menjadi tabiat Washington untuk mencampuri urusan negara luar, terutama negara kecil supaya kehendak mereka diikuti.“Sekarang, kes baru pada peringkat siasatan dan belum ada sebarang dakwaan dilakukan, jadi kenapa mereka hendak campur tangan.
Di Amerika Syarikat juga banyak berlaku jenayah jadi tidak payahlah campur tangan,” katanya.
Beliau berkata, semua orang di negara ini tertakluk kepada undang-undang, termasuk ahli politik dan kenamaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, turut tidak bersetuju dengan tindakan Washington yang cuba mencampuri urusan dalam negara, walaupun ia membabitkan Anwar.
Beliau berkata, segala masalah yang berlaku di negara ini biarlah diselesaikan oleh rakyat tempatan tanpa perlu campur tangan mana-mana negara asing.“Saya sebagai Ahli Parlimen bersama rakyat Malaysia tetap berpendapat masalah dalam negara tidak perlu kepada campur tangan negara asing,” katanya.
Salahuddin berkata, masyarakat dunia sudah melihat peranan Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan sehingga menyebabkan negara berkenaan mengalami kesengsaraan.Katanya, Amerika Syarikat hanya berminat mengaut kekayaan negara bagi kepentingan mereka.
Pengerusi DAP, Karpal Singh, mempunyai pandangan yang berlainan kerana berpendapat campur tangan Washington itu adalah kerana kes itu membabitkan politik, iaitu Anwar dan pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.“Saya berasa Washington memang mengambil berat dengan apa yang berlaku selepas kejadian 1998 membabitkan Anwar kerana berpendapat ia mempunyai elemen politik, selain unsur konspirasi.“
Kerajaan tidak seharusnya lupa bahawa negara ini sedang dipantau oleh negara luar selepas apa yang berlaku kepada Anwar 10 tahun lalu. Begitu juga kes Altantuya... kerajaan Mongolia juga sedang melihat setiap pergerakan yang berlaku di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: