3 Julai 2008

Taktik Anwar alih perhatian

Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 2 Julai - Dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau menerima ugutan bunuh merupakan satu helah dan penipuan besar bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada kes liwatnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ugutan bunuh itu sengaja direka oleh Anwar sedangkan kerajaan mendapati tidak ada ancaman langsung ke atas keselamatan Anwar.
Beliau berkata, tindak-tanduk bekas timbalan perdana menteri itu tidak menghairankan terutama selepas Anwar sanggup berlindung di kediaman Duta Turki di sini baru-baru ini.
"Kita langsung tidak nampak ada ancaman terhadap Anwar.
"Kerana itulah beliau tidak berasa bimbang atau takut akan keselamatan dirinya apabila keluar meninggalkan premis kedutaan tersebut semalam," kata Hishammuddin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar mengenai ancaman bunuh ke atas dirinya yang memaksanya berlindung di Kedutaan Turki selama 36 jam bermula Ahad lalu.
Hishammuddin menjelaskan, selepas keluar dari kedutaan berkenaan, Anwar langsung tidak kelihatan bimbang untuk muncul di hadapan lebih 10,000 penyokongnya ketika beliau berucap di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.
"Tindak-tanduk Anwar sangat meragukan kerana gelagat yang ditunjukkan di Stadium Malawati itu tidak menampakkan beliau seperti orang yang menerima ugutan bunuh.
"Nampaknya Anwar bukan sahaja bebas untuk keluar tetapi boleh berhadapan dengan khalayak yang begitu ramai,'' ujarnya.
Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran menasihatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sandiwara dan lakonan bekas timbalan perdana menteri itu.
Dalam perkembangan lain, beliau juga mempersoalkan tindakan PKR menyekat wartawan Utusan Malaysia daripada membuat liputan pada sidang akhbar Anwar di ibu pejabat parti itu di Tropicana dekat sini semalam.
"Tindakan itu langsung tidak mencerminkan perjuangan mereka yang kononnya memberi kebebasan bersuara dan bersedia mendengar pandangan pihak alternatif.
"Mereka sekadar mengaburi mata rakyat kononnya memberi keadilan kepada semua pihak termasuk media massa," katanya.
- UM, 3/7/08.

Tiada ulasan: