31 Julai 2008

MB Perak buat tawaran balas kepada Tajol

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini membuat tawaran balas kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang lain untuk menyertai kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.
Beliau berkata tawaran itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini menolak sebarang usaha mengadakan kerjasama dengan Umno dan BN untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada di peringkat pusat atau negeri.
“Saya ingin membuat tawaran itu setelah keputusan pusat menyatakan tidak menerima ataupun tidak mengiktiraf (kerjasama itu).
"Maka saya lebih cenderung hari ini membuat tawaran supaya Tajol Rosli dan rakan-rakan Yang Berhormat dia masuk ke dalam Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Jabatan Agama Islam Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, Umno Perak menawarkan kepada Pas untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan negeri yang lebih kukuh malah Tajol Rosli sendiri pernah menjamin kerusi jawatan Menteri Besar Perak kekal di tangan Pas jika cadangan perkongsian kuasa itu direalisasikan.
Ditanya sama ada Pakatan Rakyat Perak mampu menerima semua 28 Adun BN, Mohammad Nizar berkata mereka boleh menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada Pas atau Parti Keadilan Rakyat manakala wakil rakyat tunggal MCA Dr Mah Hang Soon boleh menganggotai DAP.
Sambil akur dengan keputusan pucuk pimpinan Pas pusat menolak segala bentuk kerjasama itu, beliau berkata Pas Perak tetap dengan pendirian untuk bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.
Katanya semua 31 wakil rakyat Pakatan Rakyat telah berjanji untuk sama-sama mempertahankan kerajaan yang mendapat perkenan Sultan Perak.
— Bernama

Tiada ulasan: