2 Julai 2008

Anwar berdolak-dalik Ahli Parlimen BN lompat parti

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 1 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdolak-dalik mengenai hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan dakwaan kononnya empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai pakatan pembangkang.
Ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokong PKR di Stadium Melawati di sini malam ini, Anwar berkata, pengumuman tersebut terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Penangguhan itu dibuatnya dengan alasan keadaan politik ketika ini tidak sesuai kerana beliau bimbang ada pihak tertentu akan menyekat peluangnya untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi berjanji akan membuat pengumuman berkenaan apabila sudah bersedia.
"Buat masa ini, saya akan tumpukan kepada isu-isu semasa seperti kenaikan harga minyak, makanan, ekonomi negara termasuk laporan polis yang mengaitkan saya dengan kes liwat.
"Biar keadaan ini reda dahulu... barulah kita akan buat pengumuman kerana saya tidak mahu nanti ada pihak yang cuba merancang untuk menghalang saya daripada berbuat demikian,'' katanya.
Anwar semalam mendakwa kes liwat terbaru yang dihadapinya diada-adakan bertujuan menghalang beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil dan menyekat pengisytiharan yang akan dibuat minggu ini.
Menurutnya, ada pihak juga cuba menggagalkan rancangan beliau untuk membuat pengumuman rasmi minggu ini mengenai kemungkinan empat ahli Parlimen BN, termasuk dua dari UMNO, menyertai pakatan pembangkang.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan melawan habis-habisan tuduhan liwat ke atas yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat pada 28 Jun lalu.
Mengenai laporan polis itu, Anwar berkata beliau enggan mengulas banyak kerana "ia adalah skrip lama yang diulang kembali."
Katanya, laporan polis itu dibuat untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa.
Malah, beliau menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwanya terlibat untuk mengenakan beliau pada tahun 1998.
"Saya malas nak ulas banyak-banyak, sepuluh tahun tak ada cerita lain. Dulu usung tilam ke sana ke sini. Kali ini apa lagi mereka nak buat, saya tak tahulah.
"Saya ada bukti mengenai pembabitan kedua-dua individu ini,'' katanya.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, kenyataan Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener bahawa beliau mendapat perlindungan kedutaan negara itu sebagai tetamu tidak diundang adalah satu kenyataan bodoh.
Beliau juga memberi amaran tidak akan bertolak ansur sekiranya ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai isu berkenaan.
Beliau percaya Wan Azizah memahami dirinya selain setia terhadap parti, tidak kasar dan tiada cita-cita politik yang tinggi selain mahu mempertahankan dirinya.
- UM, 2/7/08.

Tiada ulasan: