1 Julai 2008

Anwar keluar rumah duta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di Kedutaan Turki, di sini, sejak awal pagi kelmarin kerana mendakwa berlindung daripada ancaman keselamatan, meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.45 petang semalam.Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilihat keluar dari kediaman Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener di Jalan Ampang Tengah, Ampang, dekat sini menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Anwar dilihat meninggalkan kediaman itu bersama isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tiba untuk menjemputnya kira-kira 10 minit sebelum itu bersama beberapa anggota keluarga.Turut berada di situ sejurus sebelum Anwar keluar ialah peguamnya, Sankaran Nair dan beberapa pemimpin kanan PKR termasuk Naib Presiden, Azmin Ali serta sekumpulan penyokongnya.
Bercakap kepada media sejurus kenderaannya melepasi pintu utama kediaman berkenaan, Anwar berkata, beliau bersetuju meninggalkan premis itu selepas berpuas hati dengan jaminan keselamatan yang diberi kepadanya.Anwar berkata, jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim yang menyampaikannya kepada Ozener.“
Yang saya bimbangkan dan pertikaikan ialah tahap (jaminan) keselamatan polis kerana saya ada bukti (Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa Hassan dan (Peguam Negara, Tan Sri) Abdul Gani Patail terbabit dalam rancangan jahat serta mereka-reka fakta palsu dalam kes terdahulu.“Bagaimanapun, saya sekarang ambil keputusan keluar kerana mereka beri jaminan dan saya akan lihat apa yang akan berlaku,” katanya.
Anwar yang berterima kasih kepada Ozener kerana memberi layanan baik dan jaminan keselamatan sepanjang beliau berada di situ mendakwa, laporan terbaru kes liwat terhadapnya sebagai usaha kerajaan menggagalkan rancangannya bertanding pilihan raya kecil.“Ini yang menyebabkan mereka terpaksa bertindak (mengada-adakan laporan polis yang mendakwa beliau terbabit dalam kes liwat) untuk mengelaknya,” katanya.
Ditanya jika beliau sedia memberi kerja sama terhadap siasatan polis berhubung isu itu, Anwar berkata: “Saya akan beri kerjasama tetapi penyiasatan apa? penyiasatan yang berniat jahat, mereka cerita dan fakta bagi menjahanamkan karier politik saya,” katanya.
Jumaat lalu, seorang pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat aduan polis mendakwa diliwat Penasihat PKR itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dekat sini, Khamis lalu.Anwar bagaimanapun, menafikan laporan itu dan mendakwa ia adalah rekaan semata-mata serta menyifatkannya sebagai percubaan terdesak kerajaan untuk menyekat karier politiknya.
Anwar dikatakan pulang ke rumahnya di Bukit Segambut, di sini tetapi wartawan yang menunggu di situ tidak melihat beliau di sana. Media kemudian dimaklumkan beliau akan mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR di Damansara tetapi juga tidak muncul di situ.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali yang berada di situ bagaimanapun mengumumkan sidang media Anwar dibatalkan dan beliau kini berada di lokasi yang selamat. Anwar dijangka mengadakan sidang medianya hari ini.
Sementara itu, Kedutaan Turki di sini dalam kenyataannya menjelaskan Anwar dibenarkan berada di kediaman dutanya atas dasar perikemanusiaan selepas mendakwa ingin mendapat perlindungan sementara hingga isu tertentu berhubung keselamatan dirinya ditangani.“Hasrat Anwar itu dipenuhi atas dasar perikemanusiaan,” katanya sambil menegaskan bahawa Anwar tidak pernah dijemput mendapatkan perlindungan di kedutaan berkenaan. Kelmarin Anwar mendakwa beliau dijemput Ozener berlindung di situ.
Sementara itu, Syed Hamid dalam sidang medianya di lobi Parlimen semalam, mempersoalkan tindakan Anwar mencari perlindungan di premis kedutaan asing kerana selama ini keselamatan Penasihat PKR itu atau keluarganya tidak pernah terancam.“Selama ini keselamatan Anwar tidak pernah terancam. Kita tidak pernah mengambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawanya... kenapa kita perlu melakukannya?,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan memberi jaminan akan memastikan keselamatan diri dan keluarga Anwar sepanjang mereka berada di negara ini serta bersedia menyiasat sepenuhnya dakwaan beliau menerima ancaman yang boleh membahayakan nyawa.
Syed Hamid juga berkata, tindakan Anwar yang memberi gambaran dirinya dalam bahaya serta cuba mengaitkan pihak berkuasa adalah tidak adil dan perbuatan tindakan berlindung di Kedutaan Turki itu perlu dirujuk kepada Kementerian Luar.
Terdahulu, Ozener dalam pertemuan dengan Rais di Putrajaya, memberitahu pihaknya memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan secepat mungkin situasi membabitkan Anwar yang disifatkan sebagai menjadi ‘tetamunya’ sepanjang berada di kedutaan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Rais berkata, Ozener menyatakan pihaknya juga mahu Anwar meninggalkan Kedutaan Turki secepat mungkin.
Rais berkata, beliau menjelaskan kepada Ozener bahawa wujud laporan polis terhadap Anwar dan mengikut Kanun Acara Jenayah (CPC) sesiapa yang menghalang siasatan polis adalah dianggap menghalang proses keadilan.
Ditanya apakah tindakan pihak berkuasa untuk memastikan perkara sama tidak berulang, Rais yang secara berseloroh mengumpamakan insiden itu sebagai babak dalam filem Bollywood berkata, beliau percaya polis sudah mengambil langkah perlu.
Beliau berkata, Anwar tidak harus bimbang keselamatan dirinya kerana negara adalah selamat dan isteri serta anak beliau masih ke Parlimen untuk bersidang malah, tiada sebarang pertuduhan atau pendakwaan mahkamah dibuat terhadapnya melainkan satu laporan polis.“
Terpulang kepada beliau untuk memberitahu pihak berkuasa apa yang berlaku... beliau seorang yang bebas. Kenapa nak takut?... sebagai seorang yang berani, pandai berkata-kata dan panjang akal, beliau boleh menghadapi semua ini,” katanya.
- BH, 1 Jul 08.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Limat... memang ini kesukaan Anwar Ibrahim. Jangan nak sembunyi dari orang ramai. Tanya rakan-rakan Anwar samaada semasa belajar di MCKK atau di universiti.