31 Julai 2008

Perlu utamakan muqabalah

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
AHMAD Shabery Cheek menerima cenderahati daripada Mohd. Zainal Abidin Abdul Kadir (kiri) sambil diperhatikan oleh Chamil Wariya (tengah) dan Mirza Mohammad Taiyab pada penutupan bengkel media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 30 Julai - Pas perlu mengutamakan muqabalah berbanding meletakkan syarat tertentu seperti melaksanakan hukum hudud dan qisas jika mahu penggabungan UMNO dan Pas menjadi kenyataan.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, rakyat mahukan sebuah negara yang maju dan penyatuan di kalangan Melayu, bukannya terus menyaksikan polemik politik sesama bangsa yang tidak berkesudahan.
Beliau turut mempersoalkan cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu pelaksanaan hukum hudud dan qisas menjadi satu daripada syarat jika kedua-dua parti ingin bergabung.
''Saya rasa (Nik Abdul Aziz) patut tanya DAP, adakah DAP sudah sedia untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas sebab itu Pas sedia bekerjasama dengan mereka selama ini?
''Saya nak tanya kenapa hanya dengan UMNO dikenakan syarat tetapi tidak dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), melainkan sudah ada persetujuan antara mereka secara rahsia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan Bengkel Media bagi Persidangan dan Pameran Pelancongan Islam Global anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia Datuk Mohd. Zainal Abidin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan yang mencadangkan pelaksanaan hukum hudud dan qisas jika mahu pergabungan antara Pas dan UMNO menjadi satu realiti.
Beliau menambah, muqabalah adalah landasan terbaik untuk umat Islam membincangkan sesuatu yang baik demi kebaikan rakyat dan masa depan orang Melayu.
Menurutnya, DAP mungkin sudah bersedia memenuhi Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas sebelum bergabung di bawah Pakatan Rakyat sebagai memenuhi kehendak Pas itu.
Ditanya adakah UMNO sedia bergabung dengan Pas jika parti itu sanggup mengetepikan syarat dan sedia bermuqabalah tanpa mengenakan sebarang syarat, Ahmad Shabery berkata, cadangan tersebut disuarakan oleh Nik Abdul Aziz dan ia tidak mewakili keseluruhan suara Pas.
''Kita tidak anggap itu satu keputusan muktamad, saya serah pada pucuk pimpinan UMNO untuk teruskan sebarang usaha sebab kita fikir yang baik untuk orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.
''Kita tidak mahu Melayu berbalah dan akhirnya melahirkan ekstremis dalam Melayu yang hendak menunjukkan mereka lebih Melayu dan lebih Islamik sehingga timbul perpecahan dan serangan kepada bukan Melayu,'' katanya.
Menurut beliau, adalah lebih penting bagi Pas dan UMNO duduk berbincang daripada merangka sesuatu mengikut kehendak masing-masing kerana jika terlalu banyak berpolitik ia hanya menyulitkan keadaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata, industri pelancongan negara perlu dikukuhkan oleh rakyat sendiri kerana pelancong akan tertarik kepada budaya, keramahan, keindahan dan kebersihan sesebuah negara.
''Kejayaan industri ini bukan terletak pada kerajaan dan syarikat korporat semata-mata tetapi rakyat itu sendiri kerana mereka berupaya menarik kedatangan pelancong dari seluruh pelosok dunia," katanya.
- UM, 30/07/08.

Tiada ulasan: