31 Julai 2008

Siasatan kes liwat Anwar Ibrahim selesai: Syed Hamid

31/07/2008 7:44pm
PUTRAJAYA 31 Julai — Siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Katanya, adalah menjadi prosedur pihak polis untuk menyerahkan kertas berikut kepada pejabat Peguam Negara sebaik sahaja proses siasatan selesai dilakukan.
“Saya difahamkan bahawa proses siasatan telah selesai, dan kertas itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. Terpulang kepada pejabat Peguam Negara untuk menentukan bentuk dakwaan yang akan diambil,” katanya.
Bagaimanapun Syed Hamid berkata, beliau tidak diberitahu mengenai isi kandungan kertas siasatan tersebut.
“Saya bukan pihak yang bertanggungjawab dengan siasatan itu, bagaimana saya boleh tahu. Sebagai menteri, saya tidak campur tangan dalam siasatan,” katanya.
Mengulas ura-ura polis akan menahan Anwar hari ini, Syed Hamid berkata, semua pihak hendaklah membiarkan perkara tersebut berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Biarlah ia berlaku mengikut proses. Undang-undang kita menetapkan bahawa Anwar tidak bersalah sehingga beliau dibuktikan (bersalah). Tiada dakwaan setakat ini terhadapnya,” katanya.
- Bernama.

Tiada ulasan: