8 April 2012

Jawab tuduhan atau bersumpah - Fathul Bari

KUALA LUMPUR 6 April - Mana-mana pemimpin Islam yang difitnah perlu mempertahankan diri dengan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan sekiranya benar mereka tidak bersalah demi menjaga kesucian agama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, berdiam diri bukan cara terbaik jika tuduhan atau fitnah itu bersifat umum yang memerlukan satu penjelasan kukuh dibuat atau dengan cara bersumpah.
"Islam benci kepada fitnah dan tohmahan, jadi mereka yang difitnah perlu selesaikan dengan berkata-kata atau bersumpah untuk menyelesaikan perkara itu.
"Dalam hal dan keadaan tertentu, diam itu penting, tetapi jika membabitkan kepentingan umum, maka mereka tidak boleh berdiam diri bagi mengelak masyarakat bersangka buruk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didesak pelbagai pihak, termasuk ahli parti itu sendiri untuk menjawab segala dakwaan ke atasnya termasuk pemilikan saham dan nasab seorang ahli keluarganya.
Bagaimanapun, sehingga kini Ahli Parlimen Gombak itu masih enggan berbuat demikian, sebaliknya menganggap mereka yang mahukan penjelasan itu sebagai buta dan tuli kerana penjelasan sudah dibuat sebelum ini.
Selain Azmin, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berdepan dengan pelbagai dakwaan berhubung masalah moral yang sehingga kini gagal dijawab.
Fathul Bari berkata, orang yang membuat dakwaan juga perlu tampil bersama bukti-bukti dan hujah supaya tidak dianggap membuat tuduhan palsu atau fitnah yang merupakan satu dosa besar.
Dalam konteks itu, katanya, Pas yang dilabelkan sebuah parti Islam perlu membantu pemimpin seangkatannya menjawab isu tersebut supaya mereka tidak dituduh bersekongkol dalam hal membabitkan kepentingan Islam.
"Secara prinsipnya, Pas sebuah parti Islam perlu bersuara dalam membantu Azmin, jangan turut sama berdiam diri supaya tidak dituduh bersekongkol," katanya.
Fathul Bari berkata, rakyat juga bertanggungjawab untuk menolak pemimpin yang telah terbukti mempunyai masalah moral tanpa semberono melabelkan seseorang pemimpin itu tidak baik.
"Rakyat diminta tidak membuat andaian atau spekulasi sebelum sesuatu perkara itu diselesaikan mengikut prosedur," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12

Tiada ulasan: