BATU PAHAT 7 April – Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berjaya
membawa kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat kerana
sentiasa melaksanakan dasar dan perancangan berpaksikan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan dua rahsia
besar bagi mencapai sasaran tersebut ialah semua dasar dan perancangan
berpaksikan rakyat serta sentiasa menepati janji yang diberikan.
"Sebenarnya ada dua rahsia besar kerajaan untuk membawa apa yang
dikecapi hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari
ini.
“Yang pertama, kita tak pernah lari daripada berpaksikan rakyat dalam
apa jua yang kita lakukan termasuk dulu semasa kita berjuang menentang
Malayan Union, mencapai kemerdekaan, menentang komunis di mana apa yang
kita utarakan sentiasa untuk memenangi hati dan pemikiran rakyat
termasuk DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan Dasar Pembangunan Nasional,
semuanya berpaksikan rakyat.
"Dan hari ini Rakyat Didahulukan (gagasan 1Malaysia - Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan). Gagasan ini akan diteruskan untuk
meletakkan kepercayaan dan sokongan rakyat," katanya semasa merasmikan
program Jelajah Janji Ditepati di Stadium Batu Pahat, di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul
Rahman dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Kira-kira 50,000 orang membanjiri stadium berkenaan bagi memeriah dan
menyertai pelbagai program yang diadakan.
Perdana Menteri berkata, rahsia kedua kerana kerajaan BN sentiasa
dapat melaksana dan menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
"Kita BN tidak seperti pakatan pembangkang yang pandai berjanji tapi
tak mampu nak tunai. BN kita mampu tunaikan apa yang kita janjikan dan
ia menjadi prasyarat penting...semua kerana kepercayaan dan keyakinan
rakyat.
"Ini merupakan satu amanah. Sebab itu apabila janji ditepati, rakyat
semakin yakin kepada kerajaan," katanya. - UTUSAN.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan