Pages

8 April 2012

Dasar, perancangan BN berpaksikan rakyat - Najib

BATU PAHAT 7 April – Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berjaya membawa kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat kerana sentiasa melaksanakan dasar dan perancangan berpaksikan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan dua rahsia besar bagi mencapai sasaran tersebut ialah semua dasar dan perancangan berpaksikan rakyat serta sentiasa menepati janji yang diberikan.
"Sebenarnya ada dua rahsia besar kerajaan untuk membawa apa yang dikecapi hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.
“Yang pertama, kita tak pernah lari daripada berpaksikan rakyat dalam apa jua yang kita lakukan termasuk dulu semasa kita berjuang menentang Malayan Union, mencapai kemerdekaan, menentang komunis di mana apa yang kita utarakan sentiasa untuk memenangi hati dan pemikiran rakyat termasuk DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan Dasar Pembangunan Nasional, semuanya berpaksikan rakyat.
"Dan hari ini Rakyat Didahulukan (gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan). Gagasan ini akan diteruskan untuk meletakkan kepercayaan dan sokongan rakyat," katanya semasa merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Stadium Batu Pahat, di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Kira-kira 50,000 orang membanjiri stadium berkenaan bagi memeriah dan menyertai pelbagai program yang diadakan.
Perdana Menteri berkata, rahsia kedua kerana kerajaan BN sentiasa dapat melaksana dan menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
"Kita BN tidak seperti pakatan pembangkang yang pandai berjanji tapi tak mampu nak tunai. BN kita mampu tunaikan apa yang kita janjikan dan ia menjadi prasyarat penting...semua kerana kepercayaan dan keyakinan rakyat.
"Ini merupakan satu amanah. Sebab itu apabila janji ditepati, rakyat semakin yakin kepada kerajaan," katanya. - UTUSAN.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan