8 April 2012

'Anwar dalangi penangkapan'

PUTRAJAYA 6 April - Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dikaitkan sebagai individu yang mendalangi penangkapan dan pendakwaan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Saidin Thamby, 76, atas tuduhan menerima rasuah RM1 juta, 14 tahun lalu.
Beliau yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan disebut bertindak demikian selepas menerima aduan bertulis berhubung dakwaan Saidin menyeleweng wang RM1 juta yang disumbangkan untuk UMNO Selayang.
Aduan melalui sepucuk surat itu dibuat oleh seorang individu, Frankie Lee Kah Hoay pada 25 Mac 1998, setahun selepas cek itu diserahkan kepada bekas wakil rakyat berkenaan di rumah beliau.
Dalam surat tersebut, Saidin didakwa gagal mengeluarkan resit pembayaran walaupun RM1 juta telah diserahkan manakala tiada tanda menunjukkan pembinaan bangunan UMNO Selayang telah dimulakan.
"Bekas Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu turut bertanggungjawab memantau agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) memainkan peranan penting terhadap penangkapan dan seterusnya pendakwaan ke atas Saidin," demikian menurut penghakiman itu.
Ia diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini ketika melepas dan membebaskan bekas wakil rakyat tersebut daripada tuduhan menerima rasuah selepas menolak rayuan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara tersebut dinyatakan oleh Hakim Datuk Abdul Malik Ishak ketika membacakan latar belakang kes yang terkandung dalam penghakiman setebal 88 muka surat itu.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Wira Mohtarudin Baki sebulat suara berpuas hati bahawa Saidin tidak bersalah dan mengetepikan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 dan perintah agar penalti RM1 juta dibayar kepada kerajaan.
Saidin didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada bekas Pengerusi Syarikat Nusantara Network Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hanifah Nordin pada 15 Mac 1997.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan selepas dua tahun iaitu ketika kemuncak kontroversi yang dikaitkan dengan pemilihan UMNO Bahagian Selayang yang diadakan pada 29 Mac 1998.
Latar belakang kes itu selanjutnya menyatakan, Hanifah turut bertanggungjawab membuat aduan kepada Anwar berhubung penyerahan cek RM1 juta itu melalui surat bertarikh 3 April 1998.
Hakim Abdul Malik turut mengambil perhatian bahawa aduan oleh Frankie kepada Anwar dibuat beberapa hari sebelum pemilihan UMNO Bahagian Selayang berlangsung yang mana menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Saidin, Hanifah dan seorang lagi calon bagi merebut jawatan pengerusi.
Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa saksi-saksi pendakwaan tidak mempunyai kredibiliti dan melakukan pembohongan ketika memberi keterangan.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12

Tiada ulasan: