Pages

4 April 2012

'Bubar Parlimen selepas 4 tahun pilihan raya'

PSC mahu saranan diperuntuk dalam undang-undang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya menyarankan supaya pembubaran Parlimen hanya boleh dilakukan selepas empat tahun tempoh pilihan raya umum terdahulu dan bukan pada bila-bila masa seperti sekarang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata PSC mahu perkara itu diperuntukkan dalam undang-undang.

Mengikut Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, melainkan jika dibubarkan terlebih dulu, Parlimen perlu terus berjalan selama lima tahun daripada tarikh mesyuarat pertamanya dan terbubar selepas tempoh itu.

“Cadangan tarikh Parlimen bubar dinyatakan dalam peruntukan undang-undang bagi memudahkan persediaan semua pihak dalam proses pilihan raya,” katanya ketika membentangkan laporan PSC semalam.

Mengenai usaha menambah baik proses pilihan raya, jawatankuasa itu mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen tidak kurang 10 hari berbanding peraturan 3(1) Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperuntukkan tempoh minimum tujuh hari berkempen.

“Tempoh lebih panjang disarankan bagi memberi ruang berkempen, selain untuk urusan mengembalikan undi pos dengan wajar. Bagaimanapun, ada pihak berpendapat tempoh lebih panjang boleh mendatangkan kesukaran kepada aktiviti berkempen di sesetengah bahagian pilihan raya, selain kos yang tinggi,” katanya.

Maximus berkata, SPR juga perlu mengkaji membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos, tertakluk kepada syarat seperti sudah mendaftar sebagai pemilih dan balik ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam masa lima tahun terdahulu sehingga tarikh memohon mengundi sebagai pengundi pos.

“SPR diminta berbincang dengan pihak berkuasa terbabit dalam masa tiga bulan daripada tarikh laporan ini diterima oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan syarat itu dikuatkuasakan melalui penggubalan kerangka undang-undang berkaitan,” katanya.

Bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada dilaksanakan secara berkesan, jawatankuasa itu menyarankan penubuhan pasukan penguat kuasa khas SPR mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu tanpa perlu bergantung kepada pihak berkuasa lain.

Antaranya berkaitan kesalahan memberi maklumat palsu dalam urusan pendaftaran seperti pertukaran alamat mastautin di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pertukaran alamat kawasan pendaftaran di SPR dalam kad pengenalan.

"Jika terbukti bersalah, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

Dalam bahagian perundangan dan pindaan peruntukkan, SPR diminta menyediakan garis panduan dan kod etika tata laku terpakai bagi pihak menjalankan fungsi kerajaan sementara sehingga kerajaan baru dibentuk di peringkat Pusat dan negeri.

SPR juga diminta meneliti Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan yang boleh meminta pihak berkuasa awam membantu suruhanjaya melaksanakan tugasnya berkaitan akses media bebas dan saksama kepada parti dan calon bertanding dalam pilihan raya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan