Pages

8 April 2012

Nizar patut berhenti memalukan diri sendiri

IPOH 5 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menasihatkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya berhenti memalukan diri sendiri dengan mempertahankan projek pengedaran bijih besi syarikat Vale International (Vale) di Teluk Rubiah.
Menurut beliau, sikap Mohammad Nizar yang masih berdolak-dalik sambil membangkitkan perkara yang tidak relevan malah lari dari isu pokok hanya menampakkan kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu sebagai seorang pemimpin.
"Kini beliau (Mohammad Nizar) mahu bercakap bahawa beliau tidak pernah luluskan projek ini. Jangan lari daripada isu pokok. Soalnya ialah, beliau berkali-kali mencabar saya mendedahkan bukti sama ada pernah bersetuju supaya projek itu dilaksanakan di Teluk Rubiah.
"Jadi saya dedahkan dan surat itu jelas membuktikan beliau bersetuju malah hendak membantu melicinkan proses penukaran status tanah. Cukuplah, penafian hanya akan membuat satu persatu siri pembohongannya terdedah," katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini hari ini.
Mohammad Nizar semalam mengaku beliau menandatangani satu surat bertarikh 17 Disember 2008 yang menyokong pembinaan hab pengagihan bijih besi Vale di Teluk Rubiah semasa menjadi Menteri Besar Perak.
Beliau membuat pengakuan itu setelah Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohd. Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) menggunakan Perintah Tetap 23 (C) meminta Ketua Pembangkang DUN Perak berkenaan menyatakan sama ada surat tersebut yang dibacakan oleh Zambry sebelum itu benar atau tidak.
Mohammad Nizar dalam sidang akhbarnya pagi ini memberitahu, surat tersebut tidak membuktikan beliau meluluskan projek berkenaan malah menganggap ia strategi pemasaran untuk menarik pelabur seperti Vale menanam modal di negeri ini.
Mengulas kenyataan itu, Zambry berkata, beliau tidak menyangka Mohammad Nizar sebagai seorang bekas Menteri Besar boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang dilihatnya sebagai 'perlakuan orang terdesak'.
"Surat ini ditulis oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif negeri, ada siri dan dijilidkan. Anda (pemberita) boleh baca surat itu, jelas beliau setuju supaya projek diteruskan, kenapa pula timbul surat ini dikatakan sebagai strategi pemasaran. Logikkah?
"Kini minta pula kita dedah minit-minit mesyuarat. Takkan kita hendak tunjuk surat-surat dari tahun 2007 sampai sekarang, adakah ini satu permintaan yang rasional dan bijak? Lagi pula, ini (dedah surat sulit) bukan amalan kerajaan yang baik. Mereka masih hendak tegakkan benang basah, nasihat saya cukup-cukuplah," ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan Mohammad Nizar bahawa pihaknya sudah mencadangkan supaya projek itu dilaksanakan di Tanjung Hantu dan bukannya di Teluk Rubiah, Zambry menjelaskan, perkara itu tidak sepatutnya timbul kerana Vale sendiri yang mencadangkan projek itu dilaksanakan di Teluk Rubiah.
"Cadangan projek di Teluk Rubiah itu datang dari Vale sendiri dan jika kita teliti surat tersebut, kerajaan pembangkang ketika itu sudah pun bersetuju. Jadi pertikaian ini tidak sepatutnya timbul," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan