KUALA LUMPUR 3 April – Dewan Rakyat hari ini meluluskan kesemua 22
syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung
Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa dibahaskan.
Keputusan berkenaan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia pada pukul 3 petang selepas usaha menenangkan
kesemua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang gagal.
Beliau telah mengarahkan tiga Ahli Parlimen pembangkang iaitu Azmin
Ali (PKR-Gombak), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Dr. Dzulkefly Ahmad
(Pas-Kuala Selangor) keluar dewan kerana terus mempertikaikan keputusan
beliau menolak usul Loke Siew Fook (DAP-Rasah) untuk membenarkan laporan
minoriti dilampirkan di dalam laporan akhir jawatankuasa itu.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu diarahkan keluar kerana melanggar
Peraturan Mesyuarat 42 yang meminta supaya Ahli Parlimen diam ketika
Speaker bercakap.
"Di bawah Peraturan Mesyuarat 43, keputusan Speaker tidak boleh
dipersoalkan. Di bawah Peraturan Mesyuarat 44, saya dengar tadi disebut
oleh Yang Berhormat Kangar (Datuk Seri Mohd Radzi Syeikh Ahmad) yang
ingkar dan melengahkan majlis supaya diambil tindakan.
"Di atas sebab itu saya dengan ini mengarahkan Gombak, Subang dan
Kuala Selangor keluar,” kata Pandikar Amin dengan tegas.
Tindakan berkenaan menimbulkan kemarahan ahli pembangkang termasuk
ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang cuba
mempertahankan anak buahnya dan meminta Pandikar Amin menarik balik
arahan itu.
Bagaimanapun, Speaker tetap berkeras dengan arahannya sekaligus
mengundang kemarahan pembangkang yang meminta beliau meninggalkan
kerusi, ditambah dengan ejekan anggota penyokong kerajaan yang meminta
semua pembangkang keluar dewan.
"Memandangkan bahawa Ahli Yang Berhomat daripada pembangkang tidak
berniat untuk membahaskan usul ini, dengan adanya kuasa pada Speaker,
saya mengemukakan usul kepada majlis untuk diputuskan.
"Masalahnya ialah bahawa usul Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi yang juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas
Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, usul mengikut peraturan
mesyuarat 86(5) seperti yang tertera hendaklah dipersetujukan,” tegas
beliau.
Dalam suasana kecoh itu, usul berkenaan mendapat sorakan ”setuju”
yang kuat daripada ahli penyokong kerajaan, namun Pandikar Amin masih
memberi peluang kepada pembangkang untuk membuat undi belah bahagian.
Bagaimanapun, pembangkang enggan berbuat demikian dan memaksa
keputusan diluluskan tanpa dibahaskan oleh Speaker mengikut suara
majoriti.
"Kalau mahu belah bahagian, bagi tahu. Kalau tidak, bagi saya
keputusan telah tercapai. Usul dipersetujui,” katanya dan terus
mengumumkan penangguhan persidangan Dewan Rakyat untuk bersambung esok.
- BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan