Pages

4 April 2012

Membela kebajikan rakyat

BALING 2 April - Kepimpinan peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini sering berubah selepas pilihan raya berikutan perubahan fikiran masyarakat.
Perubahan itu menunjukkan daerah ini amat memerlukan pemimpin yang benar-benar berfikiran secara luar biasa untuk membela nasib rakyatnya yang rata-rata berpendapatan rendah.
Rakyat kawasan ini mahu pemimpin yang mampu membawa perubahan besar dalam menaik taraf kehidupan mereka dan ia perlu dilakukan segera agar rakyat tidak lagi dibelenggu kemiskinan.
Selepas Baling jatuh ke tangan ahli Parlimen parti pembangkang pada 2008, ternyata pemimpin pembangkang tidak mampu membawa perubahan positif dalam membangunkan sosio-ekonomi mahupun soal-soal kebajikan rakyat.
Justeru, pemilihan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Penyelaras Parlimen Baling amat tepat dan signifikan bagi membuka laluan baharu dalam aspek kemajuan, pembangunan dan ekonomi rakyat.
Rakyat di segenap pelusuk daerah mulai sedar dan sentiasa bercakap mengenai aspek tersebut seperti mewujudkan sektor industri dan perkilangan bagi menjana pembaharuan Baling sebagai daerah maju yang sekali gus melonjakkan kekuatan modal insan.
Abdul Azeez, 46, yang mula bergiat aktif sejak 1990 di daerah itu sedar bukan sahaja kemantapan politik yang penting, malah, soal ekonomi, prasarana kemudahan asas amat penting dan menjadi tanggungjawabnya untuk mengubah landskap kehidupan rakyat Baling.
Perubahan dimulakan dengan kempen memiliki rumah dan membaiki rumah rakyat.
"Kita mahu pastikan rakyat Baling memiliki rumah yang selesa dan baik untuk didiami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sasaran membina 300 buah rumah baharu dan membaiki 500 buah dengan kos lebih RM3 juta sedang dilaksanakan dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan di daerah itu yang mempunyai 124,830 penduduk dengan majoritinya orang Melayu.
Parlimen Baling yang mempunyai 88,432 pengundi dengan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Kupang dan Kuala Ketil antara daerah terbesar di negeri ini.
Di sebalik penyediaan rumah yang selesa, Abdul Azeez tidak melupakan faktor ekonomi yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat apabila beliau mewujudkan Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB) bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi rakyat.
YPRB yang diwujudkan sejak 16 Jun 2010 memberi perkhidmatan dan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan dalam bidang pelajaran, kesihatan, kebajikan dan ekonomi penduduk.
Katanya, satu lagi projek sosio ekonomi yang sedang dirancang adalah memajukan kawasan tanah terbiar dengan ternakan ayam daging secara besar-besaran bagi menjana pendapatan penduduk.
Katanya, industri ternakan ayam daging yang dirancang diusahakan di kawasan seluas lebih 404 hektar itu kini pada peringkat akhir dan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) turut menitikberatkan soal pendidikan bagi memastikan anak-anak Baling memiliki pasaran ilmu yang tinggi serta menyumbang buah fikiran kepada pembangunan pesat daerah, negeri dan negara.
"Baling akan berubah jika kesemua rakyat daerah ini bersedia untuk berubah kerana kita tidak boleh lagi terkongkong dengan budaya lama," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan