BALING 2 April - Kepimpinan peringkat Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini sering berubah selepas
pilihan raya berikutan perubahan fikiran masyarakat.
Perubahan itu menunjukkan daerah ini amat memerlukan pemimpin yang
benar-benar berfikiran secara luar biasa untuk membela nasib rakyatnya
yang rata-rata berpendapatan rendah.
Rakyat kawasan ini mahu pemimpin yang mampu membawa perubahan besar
dalam menaik taraf kehidupan mereka dan ia perlu dilakukan segera agar
rakyat tidak lagi dibelenggu kemiskinan.
Selepas Baling jatuh ke tangan ahli Parlimen parti pembangkang pada
2008, ternyata pemimpin pembangkang tidak mampu membawa perubahan
positif dalam membangunkan sosio-ekonomi mahupun soal-soal kebajikan
rakyat.
Justeru, pemilihan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez
Abdul Rahim sebagai Penyelaras Parlimen Baling amat tepat dan signifikan
bagi membuka laluan baharu dalam aspek kemajuan, pembangunan dan
ekonomi rakyat.
Rakyat di segenap pelusuk daerah mulai sedar dan sentiasa bercakap
mengenai aspek tersebut seperti mewujudkan sektor industri dan
perkilangan bagi menjana pembaharuan Baling sebagai daerah maju yang
sekali gus melonjakkan kekuatan modal insan.
Abdul Azeez, 46, yang mula bergiat aktif sejak 1990 di daerah itu
sedar bukan sahaja kemantapan politik yang penting, malah, soal ekonomi,
prasarana kemudahan asas amat penting dan menjadi tanggungjawabnya
untuk mengubah landskap kehidupan rakyat Baling.
Perubahan dimulakan dengan kempen memiliki rumah dan membaiki rumah
rakyat.
"Kita mahu pastikan rakyat Baling memiliki rumah yang selesa dan baik
untuk didiami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sasaran membina 300 buah rumah baharu dan membaiki 500 buah dengan
kos lebih RM3 juta sedang dilaksanakan dan jumlah itu akan ditambah
mengikut keperluan di daerah itu yang mempunyai 124,830 penduduk dengan
majoritinya orang Melayu.
Parlimen Baling yang mempunyai 88,432 pengundi dengan tiga kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Kupang dan Kuala Ketil antara daerah
terbesar di negeri ini.
Di sebalik penyediaan rumah yang selesa, Abdul Azeez tidak melupakan
faktor ekonomi yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat apabila beliau
mewujudkan Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB) bagi merancakkan
lagi pertumbuhan ekonomi rakyat.
YPRB yang diwujudkan sejak 16 Jun 2010 memberi perkhidmatan dan
bantuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan dalam
bidang pelajaran, kesihatan, kebajikan dan ekonomi penduduk.
Katanya, satu lagi projek sosio ekonomi yang sedang dirancang adalah
memajukan kawasan tanah terbiar dengan ternakan ayam daging secara
besar-besaran bagi menjana pendapatan penduduk.
Katanya, industri ternakan ayam daging yang dirancang diusahakan di
kawasan seluas lebih 404 hektar itu kini pada peringkat akhir dan akan
dilancarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) turut menitikberatkan soal
pendidikan bagi memastikan anak-anak Baling memiliki pasaran ilmu yang
tinggi serta menyumbang buah fikiran kepada pembangunan pesat daerah,
negeri dan negara.
"Baling akan berubah jika kesemua rakyat daerah ini bersedia untuk
berubah kerana kita tidak boleh lagi terkongkong dengan budaya lama,"
jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan