|
|
|
Hasan Ali menunjukkan
keratan akhbar Sinar Harian mengenai kenyataan beberapa pemimpin
Pas dan PKR yang merasakan isu video murtad tidak penting pada sidang
media di kediamannya, di Taman Tun Dr. Ismail, semalam.
|
KUALA LUMPUR 2 April - Bekas Exco kerajaan negeri
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali hari ini mendedahkan bukti berlakunya
kegiatan memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh beberapa
pergerakan Kristian di negara ini.
Bukti menerusi rakaman video itu ditayangkan kepada media di
kediamannya di sini dengan paparan pengakuan sepasang suami isteri yang
pernah dimurtadkan sekitar 2002.
Rakaman video dengan tiga versi iaitu rakaman tanpa suntingan
berdurasi sejam setengah serta rakaman dengan suntingan selama 16 minit
dan 42 minit itu turut merekodkan pengakuan pasangan berkenaan menjalani
upacara pembaptisan di sebuah pangsapuri di ibu negara.
Ujar Hasan, pengakuan pasangan itu jelas membuktikan kegiatan
memurtadkan sebahagian umat Islam terutama dalam kalangan orang Melayu
sememangnya berlaku.
''Unit Selamatkan Akidah (USA) sejak enam bulan lalu telah
mengusahakan pembentukan data-data mengenai orang Islam yang terlibat
dalam gerakan Kristianisasi. Gerakan itu telah berjaya memurtadkan umat
Islam.
''Unit terbabit telah berusaha mendapatkan beberapa individu yang
terlibat untuk berkongsi pengalaman mereka sejak dari mula terdedah
kepada gerakan berkenaan hinggalah kepada mereka dimurtadkan.
''Saya difahamkan daripada pengakuan pasangan tersebut, dalam
kumpulan mereka sahaja (yang dimurtadkan) ada lebih kurang 300 hingga
400 orang Melayu Islam. Namun, dakwa pasangan itu, sebenarnya ada banyak
lagi kumpulan,'' katanya pada sidang akhbar di sini.
Hasan berkata, murtad di kalangan umat Islam kebanyakannya berlaku
akibat mementingkan hiburan tanpa batas yang akhirnya memudahkan 'jarum'
gerakan murtad memesongkan akidah mereka.
Dalam pada itu, beliau menempelak kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor,
Dr. Abdul Rani Osman yang melihat pendedahan video pengakuan murtad itu
sebagai tidak penting.
''Hari ini Abdul Rani (dalam kenyataan media) sebut video murtad tak
penting. Jelasnya Pas Selangor sudah dapat arahan Pas Pusat, tidak perlu
layan apa yang saya hendak cakap (tentang pendedahan murtad). Abdul
Rani juga berkata ada banyak benda besar nak diberi perhatian iaitu
pengundi hantu.
''Pengundi hantu dikatakan benda besar dan nak dibandingkan dengan
isu murtad? Bayangkan seorang Islam kata video murtad tak penting?
Bertambahnya orang murtad tak penting?
''Saya tak tahulah (hendak kata apa) dan berharap beliau balik kepada
akalnya untuk mencambahkan akidah Islam,'' ujarnya.
Beliau kemudiannya membidas kenyataan seorang pemberita yang
mengaitkan pertambahan umat Islam yang murtad khususnya di Selangor
dengan kegagalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
bertindak selaku ketua agama Islam negeri.
''Untuk anda (pemberita) kata Sultan tak jalankan tugasnya, ia
keterlaluan,'' tegas beliau terhadap pemberita tersebut yang berulang
kali membangkitkan soalan sama.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan