KALAU difikirkan kisah desakan dan rasa tak puas hati memanjang
pembangkang di negara ini, alamat tak buat kerjalah kerajaan untuk
rakyatnya.
Masa seakan tak berjalanlah, dek asyik nak layan kerenah mereka.
Buat begini, dikatakan begitu. Sudah dilaksanakan, dicari pula
salahnya biar sebesar zarah sekalipun. Dicari-cari, tak jumpa pun
kecacatan itu. Tapi ‘pusingnya’ aduhai, biar ke mana halanya asalkan
setidak-tidaknya akan timbul kemarahan orang.
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari
merancang menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dikatakan
‘depa’ punya idea. Bila dibacakan Rang Undang-Undang Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 buat kali pertama di Dewan
Rakyat Selasa lalu yang digubal ekoran pemansuhan ISA 1960, dikatakan
macam-macam pula oleh juak-juak ini. Serba tak kenalah apa yang kerajaan
buat. Rakyat pun geleng kepala.
Namun, kalau dilihat dari mata hati dan penuh keikhlasan akan
Undang-Undang Kesalahan Keselamatan ini, ia jelas menunjukkan betapa
seriusnya jenayah keganasan dan sabotaj ini. Ia berlainan sekali dari
Kod Kanun Keseksaan tetapi lebih mirip kepada Akta Keganasan 2005 United
Kingdom dan undang-undang serupa di Amerika Syarikat.
Antara penjenamaan baru undang-undang ini di Malaysia ialah meskipun
sesuatu kes itu telah berjalan atau di peringkat rayuan, ada peruntukan
bahawa yang dituduh tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Ini berbeza
sekali dengan dahulu yang mana kalau seseorang dituduh di mahkamah dan
sedang menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi, dia mungkin dapat pelepasan
jaminan. Sekarang tidak lagi, melainkan dia di bawah 18 tahun, seorang
perempuan dan seorang yang sakit atau uzur. Juga, antara lainnya
mengenai tempoh tahanan seseorang individu tidak lebih 28 hari bagi
tujuan penyiasatan dan pemasangan peranti pengawasan elektronik terhadap
individu yang disyaki melakukan perbuatan jenayah ini tetapi dilepas
oleh polis.
Cuma sedikit pandangan yang boleh dikongsi mengenai undang-undang
baru ini ialah berkaitan fasal 5 yang mana dalam masa 48 jam seseorang
itu ditangkap, lalu dikurung kerana sebab tertentunya, maka perkara ini
tidak dimaklumkan kepada anggota keluarganya. Ini termasuk di mana dia
disorokkan. Dalam masa 48 jam juga tidak boleh mendapat khidmat peguam.
Ia antara satu aspek yang boleh ditegur - dibisikkan oleh pengamal
undang-undang, Prof. Salleh Buang kepada saya. Kata Salleh, ia umpama
menyalahi hak asasi yang diperuntukkan dalam Perkara 5 Perlembagaan
(*dalam ada masa 24 jam, seseorang yang ditahan mesti dibawa ke mahkamah
dan setiap orang harus mendapat khidmat peguam).
Begitupun, sesuatu yang agak menarik juga mengenai Undang-Undang
Kesalahan Keselamatan ini ialah Pendakwa Raya boleh memberi kuasa kepada
polis untuk memintas mesej yang dihantar atau diterima menerusi
mana-mana medium komunikasi. Sebelum ini kuasa memintas hanya dipakai
dalam Akta Multimedia.
Dan lebih penting lagi, undang-undang baru ini menyebut tidak ada
sesiapa pun boleh ditangkap semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti
politiknya. Ini sekali lagi menunjukkan seriusnya kerajaan mahu
menangani jenayah ini secara telus berbanding ISA dahulu yang tahanan
dikaitkan dengan ‘perbezaan ideologi parti’.
Apa pun, tanpa melihat secara terperinci undang-undang yang digubal
ini, di penghujungnya nanti tentu akan ada fasa terakhir kandungan akta
ini.
Dikatakan Najib akan membentangkan akta ini di Parlimen Isnin nanti.
Kita kena bersabarlah dan tunggu butiran selanjutnya. Ini kerana ia
merupakan satu jenis kesalahan yang baru dan memberikan jenis atau
langkah-langkah keselamatan yang baru.
Isnin ini jugalah memberi peluang kepada Ahli Parlimen yang baru
untuk menyertai sama perdebatan ke atas Rang undang-undang yang belum
dibaca untuk kali kedua ini.
Akhirnya, sebagai rakyat, kita wajar sepakat - bahawa undang-undang
baru ini amat diperlukan untuk menangani anasir yang cuba mengganggu
gugat keselamatan dan kestabilan negara.
/HWA: utusan.com.my | 14/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan