Pages

9 April 2012

Jangan campur urusan Malaysia

KEBELAKANGAN ini kecoh diperkatakan mengenai campur tangan dari pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mencampuri urusan politik di negara ini. Bukan sekadar menyatakan sokongan secara terbuka terhadap parti-parti politik pembangkang malah mereka turut sama menyumbang sejumlah besar dana dan bantuan kewangan atas kapasiti membantu menyuburkan demokrasi.
Tapi apakah benar tujuan mereka itu ikhlas atau hanya sekadar satu lagi agenda atau propaganda mereka untuk cuba mencampuri urusan politik negara ini atas nama kebebasan dan demokrasi.
Untuk menjawab persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid dan Kasthuri Jeevendran telah mewawancara Ahli Kongres Amerika Syarikat, Eni Faleomavaega di Putrajaya baru-baru ini.
Beliau secara jelas memuji proses demokrasi di negara ini berjalan lancar malah gembira melihat perkembangannya yang jelas tersusun serta hanya mengambil waktu yang singkat berbanding negaranya yang terpaksa berjuang selama 230 tahun.
“Saya tidak percaya kepada satu sistem demokrasi sahaja. Saya percaya setiap negara mempunyai jangka masa tertentu untuk berjaya dalam membina demokrasi yang stabil, bahkan negara saya sendiri belum mencapai tahap demokrasi yang cukup stabil, malahan kami bukanlah sebagus yang difikirkan,” ujar Faleomavaega.
Beliau juga turut kagum dan menyokong penuh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menubuhkan sebuah kerajaan berteraskan demokrasi yang berkonsepkan Islam.
MINGGUAN: Secara peribadi, apa pandangan anda tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak?
FALEOMAVAEGA: Saya begitu teruja untuk memberi pendapat tentang Perdana Menteri anda. Keterampilan beliau dalam membina hubungan baik antara Malaysia dan AS sungguh terserlah terutamanya dalam soal pertumbuhan ekonomi dan ketenteraan. Prinsip kerajaan Malaysia dan prinsip kerajaan Demokrat kami tidak bercanggah dan kebanyakannya hampir sama. Kami juga menyokong usaha Perdana Menteri anda untuk menubuhkan sebuah kerajaan berteraskan demokrasi yang berkonsepkan Islam. Lihatlah Indonesia, negara demokrasi Islam yang pernah melalui pemerintahan kuku besi Presiden Suharto namun akhirnya beliau terpaksa meletak jawatan dan pilihan raya yang berteraskan demokrasi diadakan. Kini rasanya keadaan Indonesia jauh lebih baik berbanding era Presiden Suharto dahulu akibat dari pembaharuan politik melalui demokrasi. Cuba anda lihat juga keadaan di Mesir, hanya kerana beberapa 'tweet' oleh warga mudanya yang kemudian mengakibatkan era pemerintahan Presiden Hosni Mubarak berakhir. Daripada tidak ada demokrasi kini mereka berubah menerima pembaharuan.
Adakah sistem demokrasi di Malaysia sekarang sudah cukup baik atau masih memerlukan beberapa perubahan?
FALEOMAVAEGA: Malaysia sedang bergerak ke arah demokrasi yang lebih baik, saya sungguh mengagumi rakyat negara ini dengan kemajuan yang telah dicapai sehingga ke tahap ini. Saya tidak percaya kepada satu sistem demokrasi sahaja. Saya percaya setiap negara mempunyai jangka masa tertentu untuk berjaya dalam membina demokrasi yang stabil, bahkan negara saya sendiri belum mencapai tahap demokrasi yang cukup stabil malahan kami bukanlah sebagus yang difikirkan. Kami terpaksa berjuang selama 230 tahun untuk mencapai apa yang ada kini.
Demokrasi kami bermula selepas perang saudara antara Amerika Utara dan Selatan berikutan keengganan pihak kulit putih yang tidak mahu mengiktiraf kewarganegaraan warga kulit hitam sehingga mengorbankan nyawa seramai 600,000. Malah demokrasi di AS tidak mencapai tahap yang terbaik sehingga tahun 1964-1965. Masyarakat kulit hitam tidak dapat menerima hakikat mereka terpaksa duduk di belakang bus, tidak boleh menggunakan tandas atau restoran yang sama dengan kulit putih. Mereka dilayan seperti kelas bawahan atau seperti hamba di negara mereka sendiri. Tetapi kami sedar tentang kesilapan itu dan akhirnya melakukan perubahan. Perubahan dan proses menyedari kesilapan adalah sesuatu yang sangat diperlukan dalam memperjuang dan mengekalkan demokrasi.
Masalah yang seringkali timbul di negara ini ialah perbalahan ketara pihak pembangkang. Ini menyukarkan usaha kerajaan untuk bekerjasama dengan pembangkang dalam sebarang isu yang timbul?
FALEOMAVAEGA: Itu adalah sesuatu yang biasa. Kamu harus mempunyai kumpulan pembangkang dalam proses membina sebuah negara yang maju dalam semua segi. Sekiranya semua orang hanya mengiyakan kehendak kerajaan maka negara akan semakin mundur ke belakang. Kita perlukan suara pembangkang untuk memperbetulkan silap kita, untuk demokrasi yang lebih kukuh dan hebat. Kami juga berhadapan masalah yang sama dalam usaha meluluskan sebarang rang undang-undang. Ia bukanlah semudah yang disangka kerana tidak semua akan dipersetujui.
Namun kita perlu sedar bahawa jika pihak pembangkang hanya tahu mengkritik dan menghentam kerajaan yang dipilih ia sebenarnya tidak membantu apa-apa. Di negara kami selalunya pembangkang akan membuat bising menyalahkan kami, mencari kelemahan kami, menuduh kami membelanjakan wang rakyat, tanpa menyedari hakikat bahawa kita terpaksa menanggung banyak perkara yang penting untuk dilakukan. Namun kami masih boleh bekerjasama dalam banyak isu apabila diperlukan. Walaupun kami selalu bertelingkah serta berlainan ideologi dan prinsip namun kerjasama adalah perlu kerana apa yang perlu diutamakan adalah rakyat dan negara kami.
Apa pandangan anda apakah pemimpin yang mempunyai masalah dalam isu-isu moral seperti terlibat dalam kegiatan homoseksual boleh menjadi pemimpin sesebuah negara?
FALEOMAVAEGA: Saya berpendapat rakyat Malaysia bijak menilai siapakah sebenarnya yang bersalah, mereka bijak memilih kerajaan yang mereka mahukan, ini adalah lambang bagi sebuah negara yang demokrasi. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih ketua. Namun bagi saya jika ditakdirkan ada seorang pengamal budaya songsang ini mahu bertanding jawatan Presiden, saya sukar menerima perkara itu. Pada pendapat saya, semua orang tahu malah kebanyakan kami yakin bahawa bekas Presiden Bill Clinton bersalah dalam skandal seks beliau dengan Monica Lewinsky. Namun beliau berjaya melepaskan diri malah isterinya pula menceburi politik dan kini dipilih menjadi antara pemimpin tertinggi di AS. Mungkin agak pelik tetapi itulah hakikatnya. Tetapi terus terang saya katakan, tidak mungkin pada era saya, kami bersedia menerima seorang presiden dengan kredibiliti seperti ini.
Terdapat NGO berpengkalan di AS yang terang-terangan menyokong serta menyalur dana kepada parti-parti pembangkang Apa komen anda terhadap perkara ini?
FALEOMAVAEGA: Saya meminta dua NGO ini iaitu Konrad Adenaeur Foundation (KAF) dan National Democratic Institute for International Affair (NDI) tidak memperguna dan merosakkan nama negara mereka sendiri dengan usaha-usaha cuba campur tangan dalam hal ehwal negara lain. Isu-isu berhubung politik haruslah di selesaikan oleh negara dan rakyatnya sendiri, bukan dengan campur tangan negara luar. Saya sangat berharap mereka tidak akan campur tangan dan memburukkan hubungan baik dua negara ini.
Saya melihat adalah tidak adil untuk mana-mana ahli politik dan NGO dari AS memberi sokongan secara terbuka kepada mana-mana pihak di negara ini. Kenapa perlu ada pihak luar cuba mencampuri urusan orang lain. Jika ada pihak luar cuba mencampuri urusan negara kami sudah tentu kami juga akan marah. Oleh itu rakyat negara ini mempunyai kuasa demokrasi untuk memilih kerajaan mereka, malah pada pandangan saya, keadaan di Malaysia nampaknya sungguh stabil. Amalan demokrasi di negara ini sungguh mengkagumkan saya, saya pasti rakyat negara ini bijak memilih pemimpin dan kerajaan mereka.
Anda merupakan Ahli Jawatankuasa Kecil Asia Pacific di Kongres, apakah yang anda dapat simpulkan tentang masa depan ASEAN?
FALEOMAVAEGA: Saya sungguh pasti ASEAN akan menjadi kuasa yang dominan dari segi pemerintahan dan ekonomi berbanding Eropah dan sebagainya. Apatah lagi kini negara-negara di Asia mempunyai kuasa ekonomi yang kuat seperti China, India dan Jepun. Anda berbicara tentang negara-negara yang sedang meningkat maju dari semua segi termasuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh termasuklah dari segi teknologi dan pertumbuhan industri. Di manakah kedudukan China pada masa depan? Saya pasti negara itu akan hebat kedudukannya. Di mana Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang? Saya pasti Malaysia bersama-sama ASEAN akan turut sama menikmati pertumbuhan dan pembangunan yang hebat. Saya melihat keadaan di AS akan agak kritikal ketika itu kerana peranan-peranan yang dimainkan oleh negara-negara di Asia termasuklah ASEAN. Malah saya meramalkan Afrika Selatan akan lebih kaya dan maju apatah lagi dengan sumber asli yang dimiliki mereka. Keadaan negara-negara ini tidak begitu stabil ketika ini kerana situasi politik yang tidak begitu baik namun ini tidak bermaksud satu hari nanti mereka tidak boleh menjadi lebih baik. Saya pasti kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah positif dalam usaha menuju kearah negara yang lebih maju di masa hadapan. Ketika ini negara Asia seperti Jepun dan China sedang menghadapi pelbagai isu tetapi semuanya pasti akan kembali pulih.
/HWA: utusan.com.my | 8/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan