Awang kasihan nasib ahli-ahli PKR kebelakangan ini, yang terpaksa
menanggung aib akibat skandal demi skandal para pemimpinnya.
Rabu lalu, sebahagian pemimpin PKR cabang Ampang secara terbuka
mendesak Timbalan Presiden, Azmin Ali menjawab segala tuduhan melibatkan
beliau.
Menurut Ketua Penerangan PKR cabang Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi,
desakan itu dibuat atas nama integriti dan bagi mengelak pakatan
pembangkang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Memang ramai yang bercakap tentang Azmin dan keluarganya. Daripada
isu sumber kewangan bagi pemilikan saham pada 1992 hinggalah kepada
nasab ahli keluarga, yang dikaitkan dengan satu skandal seks.
Dakwaan itu amat serius. Manusia yang normal pasti tidak teragak-agak
tampil menjawab bagi mempertahankan maruah keluarga.
S. Nallakaruppan bekas sahabat baik Anwar Ibrahim baru-baru ini
mendakwa Ketua Pembangkang itu pernah mempunyai hubungan sulit dengan
Shamsidar Tahir, iaitu isteri Azmin. Anehnya, Azmin memilih untuk tidak
menjawab semua tuduhan itu dengan alasan kononnya beliau pernah
menjelaskannya sebelum ini.
Awang menerima beberapa maklum balas yang terkejut dengan reaksi
Azmin termasuk daripada kalangan orang dalam PKR sendiri. Setahu mereka,
tidak pernah Azmin tampil membuat penjelasan menyeluruh tentang isu-isu
tersebut.
Maka tercetuslah pertanyaan besar apakah ada sesuatu mahu
disembunyikan atau memang dakwaan itu mempunyai asas kebenaran sehingga
sukar untuk dinafikan. Apakah Azmin juga mahu melindungi Anwar atas
sebab-sebab tidak diketahui, yang Awang harap jawapannya tidak. Seperti
suami-suami yang lain, beliau tentu sedar betapa menjaga maruah isteri
adalah lebih utama daripada menjaga hati orang lain termasuk bos
sendiri. Tiada siapa yang mahu menjadi suami yang dayus, begitu juga
Azmin.
Sudahlah tidak mahu menjawab, beliau memperlekehkan pula suara ahli
di peringkat akar umbi yang mahukan penjelasannya, sebagai golongan
‘buta dan tuli’. Sepatutnya kenyataan itu ditujukan kepada diri sendiri
berdasarkan cakap-cakap dan dakwaan apa yang telah berlaku. Azmin lebih
tahu maksudnya.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT.
/HWA: utusan.com.my | 8/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan