DENGAN kontroversi paling serius setakat ini ditimbulkan oleh Ahli
Parlimen daripada pakatan pembangkang di Balairong Seri beberapa hari
lalu, seharusnyalah ia membuka luas minda rakyat.
Ini khususnya buat orang Melayu. Kalaulah sahih apa yang dirujuk oleh
Dr. Rahman Kadir itu bahawa 'pemegang watak utamanya' adalah Timbalan
Presiden PKR, Azmin Ali, maka orang harapan Anwar Ibrahim itu harus
berasa malu dan menyalahkan diri sendiri.
Sepatutnya dia 'mendidik' Naib Presidennya, Tian Chua tentang peri
penting menghormati institusi raja di negara ini. Seharusnya juga Azmin
memberi panduan kepada Tian Chua atau mana-mana ahli parlimen
pembangkang bukan Islam yang lain mengenai Kesultanan Melayu yang
merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu.
Ia mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh
sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan
kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan
pemerintahan beraja. Lagi pun, sistem pemerintahan beraja akan dapat
meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan kepada raja
dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan rakyat
dari kalangan orang Melayu, Cina dan India serta bumiputera di Sabah dan
Sarawak.
Ini tidak, 'pelakon' Azmin di Balairong Seri itu melalut begitu jauh.
Namun kalau dilihat dan lebih molek lagi dikaji rekod pembangkang
dalam tempoh empat tahun ini, memang boleh dirumuskan bahawa mereka
tidak pernah cuba berlaku jujur untuk menghormati institusi ini.
Kalau anda seorang anak muda yang obses kepada laman sosial facebook
dan twitter terutamanya, layarilah berita-berita berkisar krisis politik
Menteri Besar di Perak tempoh hari. Siapa manusia-manusia 'berkopiah'
yang dok berbaring di atas jalan menghalang kenderaan yang membawa Raja
Nazrin. Parti mana pula yang kini seakan-akan menjadi 'budak suruhan'
DAP.
Bila ADUN DAP Pantai Remis, Nga Kor Ming baca ayat Quran dengan
sebutan surah tidak betul di Bukit Gantang pada awal 2009, siapa pun
dari pembangkang tak tegur. Lebih pelik lagi, kepimpinan Pas memuji pula
tindakan Kor Ming itu ketika orang Melayu dan umat Islam marah - dan
sedar perbuatan Kor Ming itu hanyalah bermotif untuk memancing undi.
Dan jika diamati pun, matlamat kerjasama DAP dan Pas lebih menjurus
kepada untuk menghapuskan institusi parti Melayu UMNO. Pengundi-pengundi
Cina yang menyokong Pas ialah semata-mata bertujuan untuk menghapuskan
UMNO. Di sisi satu lagi, mereka bukannya pun bersetuju dengan prinsip
perjuangan parti Pas.
DAP yang bekerjasama dengan Pas walaupun mempunyai prinsip perjuangan
yang berbeza dan bertentangan, mereka bersatu hanyalah untuk
menghapuskan sokongan orang Melayu terhadap parti UMNO.
Tidak ada apa-apapun ikatan antara parti Pas dan DAP yang membolehkan
kedua-duanya bergabung untuk memerintah negara ini. BN yang dianggotai
UMNO, MCA, MIC dan lain-lain parti komponen telah terbukti sejak merdeka
lagi melalui prinsip tolak ansur kompromi dan dasar-dasar pragmatik
yang berjaya melahirkan Malaysia maju dalam bidang ekonomi dan stabil
dari segi politik hingga dihormati di peringkat antarabangsa.
Sejak mencapai kemerdekaan, UMNO melalui Perikatan dan BN telah
menerajui pemerintahan negara ini. Pencapaian UMNO dirumuskan antaranya -
berjaya meningkatkan kedudukan dan kemajuan agama Islam di Malaysia
melalui pembinaan infrastruktur agama Islam seperti masjid, surau,
sekolah dan institusi pengajian tinggi Islam di setiap pelosok negara.
Pembinaan Putrajaya jelas menunjukkan kedudukan dominan agama Islam
negara ini. Pelbagai pembangunan agama Islam dalam pelbagai bidang
seperti perbankan Islam, insurans Islam, pendidikan Islam sedang giat
dimajukan di sini.
Kewujudan kelas menengah dan profesional dalam kalangan orang Melayu kini tidak wujud semasa mencapai kemerdekaan dulu.
Kedudukan orang Melayu dalam perkhidmatan awam dan perkhidmatan
kerajaan telah dapat diperkukuhkan. Dan lebih penting lagi, kerajaan BN
yang diterajui oleh UMNO telah berjaya mengekalkan perpaduan dan
pembangunan negara ini bagi semua rakyat. Malaysia kini dianggap sebagai
satu negara Industri yang maju di peringkat pertengahan dan dijangka
maju pada tahun 2020.
Dengan sikap pembangkang memperlekehkan institusi diraja semasa
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu, kita semua pasti cuak.
Mampukah jika mereka boleh 'berkuasa', dapat pula mengekalkan status quo
yang ada sekarang.
Jumlah kerusi Parlimen di Malaysia adalah sebanyak 222. Untuk
memerintah negara di peringkat Persekutuan, parti atau gabungan parti
harus mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi.
Dalam PRU-12, Pas bertanding 67 kerusi Parlimen dan menang 23 kerusi.
Ini bermakna Pas sendiri tidak boleh menjadi parti pemerintah walaupun
memenangi semua kawasan Parlimen yang ditandinginya. Pas bertanding
untuk membentuk kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Tetapi bukannya untuk menjadi pemerintah di peringkat persekutuan.
Dengan itu Pas bukanlah parti dominan dalam pakatan pembangkang.
PKR pula bukanlah lagi merupakan parti Melayu kerana keahliannya
terbuka kepada pelbagai kaum. Dalam PRU-12, PKR bertanding di 97 kawasan
Parlimen dan menang 31 kerusi. Dengan demikian, PKR juga bukan parti
yang boleh memerintah.
Pendek kata, dalam pakatan pembangkang, parti-parti Melayu seperti Pas bukan parti dominan berbanding kedudukan UMNO dalam BN.
Pada 2008, UMNO bertanding di 117 kawasan Parlimen dan bertanding di
semua negeri peringkat DUN untuk menubuhkan kerajaan kecuali di Sarawak
dan Pulau Pinang. Apa maknanya jika semua calon UMNO menang di peringkat
Parlimen dan negeri?
Yang jelas, Ahli Parlimen pembangkang sudah tidak ada isu. Sebab itu mereka kini menyerang dan memperlekehkan institusi Raja.
Tambah lagi, apabila Perdana Menteri menjadikan agenda transformasi
yang kian menampakkan keberhasilannya, sekali lagi pembangkang 'gigit
jari'.
/HWA: utusan.com.my | 16/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan