17 April 2012

'Mereka' biadab lagi

DENGAN kontroversi paling serius setakat ini ditimbulkan oleh Ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang di Balairong Seri beberapa hari lalu, seharusnyalah ia membuka luas minda rakyat.
Ini khususnya buat orang Melayu. Kalaulah sahih apa yang dirujuk oleh Dr. Rahman Kadir itu bahawa 'pemegang watak utamanya' adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, maka orang harapan Anwar Ibrahim itu harus berasa malu dan menyalahkan diri sendiri.
Sepatutnya dia 'mendidik' Naib Presidennya, Tian Chua tentang peri penting menghormati institusi raja di negara ini. Seharusnya juga Azmin memberi panduan kepada Tian Chua atau mana-mana ahli parlimen pembangkang bukan Islam yang lain mengenai Kesultanan Melayu yang merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu.
Ia mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Lagi pun, sistem pemerintahan beraja akan dapat meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan rakyat dari kalangan orang Melayu, Cina dan India serta bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Ini tidak, 'pelakon' Azmin di Balairong Seri itu melalut begitu jauh.
Namun kalau dilihat dan lebih molek lagi dikaji rekod pembangkang dalam tempoh empat tahun ini, memang boleh dirumuskan bahawa mereka tidak pernah cuba berlaku jujur untuk menghormati institusi ini.
Kalau anda seorang anak muda yang obses kepada laman sosial facebook dan twitter terutamanya, layarilah berita-berita berkisar krisis politik Menteri Besar di Perak tempoh hari. Siapa manusia-manusia 'berkopiah' yang dok berbaring di atas jalan menghalang kenderaan yang membawa Raja Nazrin. Parti mana pula yang kini seakan-akan menjadi 'budak suruhan' DAP.
Bila ADUN DAP Pantai Remis, Nga Kor Ming baca ayat Quran dengan sebutan surah tidak betul di Bukit Gantang pada awal 2009, siapa pun dari pembangkang tak tegur. Lebih pelik lagi, kepimpinan Pas memuji pula tindakan Kor Ming itu ketika orang Melayu dan umat Islam marah - dan sedar perbuatan Kor Ming itu hanyalah bermotif untuk memancing undi.
Dan jika diamati pun, matlamat kerjasama DAP dan Pas lebih menjurus kepada untuk menghapuskan institusi parti Melayu UMNO. Pengundi-pengundi Cina yang menyokong Pas ialah semata-mata bertujuan untuk menghapuskan UMNO. Di sisi satu lagi, mereka bukannya pun bersetuju dengan prinsip perjuangan parti Pas.
DAP yang bekerjasama dengan Pas walaupun mempunyai prinsip perjuangan yang berbeza dan bertentangan, mereka bersatu hanyalah untuk menghapuskan sokongan orang Melayu terhadap parti UMNO.
Tidak ada apa-apapun ikatan antara parti Pas dan DAP yang membolehkan kedua-duanya bergabung untuk memerintah negara ini. BN yang dianggotai UMNO, MCA, MIC dan lain-lain parti komponen telah terbukti sejak merdeka lagi melalui prinsip tolak ansur kompromi dan dasar-dasar pragmatik yang berjaya melahirkan Malaysia maju dalam bidang ekonomi dan stabil dari segi politik hingga dihormati di peringkat antarabangsa.
Sejak mencapai kemerdekaan, UMNO melalui Perikatan dan BN telah menerajui pemerintahan negara ini. Pencapaian UMNO dirumuskan antaranya - berjaya meningkatkan kedudukan dan kemajuan agama Islam di Malaysia melalui pembinaan infrastruktur agama Islam seperti masjid, surau, sekolah dan institusi pengajian tinggi Islam di setiap pelosok negara. Pembinaan Putrajaya jelas menunjukkan kedudukan dominan agama Islam negara ini. Pelbagai pembangunan agama Islam dalam pelbagai bidang seperti perbankan Islam, insurans Islam, pendidikan Islam sedang giat dimajukan di sini.
Kewujudan kelas menengah dan profesional dalam kalangan orang Melayu kini tidak wujud semasa mencapai kemerdekaan dulu.
Kedudukan orang Melayu dalam perkhidmatan awam dan perkhidmatan kerajaan telah dapat diperkukuhkan. Dan lebih penting lagi, kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO telah berjaya mengekalkan perpaduan dan pembangunan negara ini bagi semua rakyat. Malaysia kini dianggap sebagai satu negara Industri yang maju di peringkat pertengahan dan dijangka maju pada tahun 2020.
Dengan sikap pembangkang memperlekehkan institusi diraja semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu, kita semua pasti cuak. Mampukah jika mereka boleh 'berkuasa', dapat pula mengekalkan status quo yang ada sekarang.
Jumlah kerusi Parlimen di Malaysia adalah sebanyak 222. Untuk memerintah negara di peringkat Persekutuan, parti atau gabungan parti harus mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi.
Dalam PRU-12, Pas bertanding 67 kerusi Parlimen dan menang 23 kerusi. Ini bermakna Pas sendiri tidak boleh menjadi parti pemerintah walaupun memenangi semua kawasan Parlimen yang ditandinginya. Pas bertanding untuk membentuk kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Tetapi bukannya untuk menjadi pemerintah di peringkat persekutuan. Dengan itu Pas bukanlah parti dominan dalam pakatan pembangkang.
PKR pula bukanlah lagi merupakan parti Melayu kerana keahliannya terbuka kepada pelbagai kaum. Dalam PRU-12, PKR bertanding di 97 kawasan Parlimen dan menang 31 kerusi. Dengan demikian, PKR juga bukan parti yang boleh memerintah.
Pendek kata, dalam pakatan pembangkang, parti-parti Melayu seperti Pas bukan parti dominan berbanding kedudukan UMNO dalam BN.
Pada 2008, UMNO bertanding di 117 kawasan Parlimen dan bertanding di semua negeri peringkat DUN untuk menubuhkan kerajaan kecuali di Sarawak dan Pulau Pinang. Apa maknanya jika semua calon UMNO menang di peringkat Parlimen dan negeri?
Yang jelas, Ahli Parlimen pembangkang sudah tidak ada isu. Sebab itu mereka kini menyerang dan memperlekehkan institusi Raja.
Tambah lagi, apabila Perdana Menteri menjadikan agenda transformasi yang kian menampakkan keberhasilannya, sekali lagi pembangkang 'gigit jari'.
/HWA: utusan.com.my | 16/4/12

Tiada ulasan: