TAK habis-habis pemimpin pembangkang buat onar. Ada sahaja perbuatan yang memalukan malah tidak terfikir dek akal.
Terbaru, seorang pegawai perubatan, Dr. Rahman Kadir mendedahkan
perbuatan beberapa pemimpin pembangkang mempersendakan Raja-raja Melayu
pada pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.
Beliau yang bertugas semasa istiadat itu berlangsung, membuat
pendedahan tersebut menerusi laman Facebook, yang kemudian disiarkan
sebagai berita utama Utusan Malaysia, kelmarin.
Menurut Dr. Rahman, perbuatan itu paling ketara dilakukan apabila
tetamu kehormat termasuk Raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri
berjalan masuk ke dalam Balairong Seri.
‘‘Seolah-olah seperti kanak-kanak sekolah, mereka mentertawakan
penampilan dan fizikal Sultan. Saya tidak tergamak hendak menulis di
sini kerana ia sama seperti menghina baginda semua,’’ itulah antara lain
kenyataan beliau.
Sehari selepas pendedahan itu, Dr. Rahman tampil sekali lagi
mempertahankan kenyataannya itu. Malah menurut beliau ada beberapa saksi
lain boleh mengesahkan kejadian tersebut.
Walaupun ramai yang tidak menduga sampai begitu sekali sikap beberapa
pemimpin pembangkang, Awang tidak terkejut. Bukan kali pertama pemimpin
pembangkang menghina Raja-raja Melayu. Sudah banyak kali kejadian
seumpama itu berlaku.
Paling banyak ialah penghinaan yang dilakukan menerusi kenyataan dan
ucapan. Bahkan, ada yang secara terbuka mempersoalkan keputusan dan
titah Raja Melayu walaupun hal-hal di bawah bidang kuasa baginda
sebagaimana tertakluk dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Kerap juga berlaku dalam bentuk wakil rakyat pembangkang tidak
memakai pakaian istiadat ketika upacara perasmian sidang Dewan Undangan
Negeri yang dirasmikan oleh Sultan. Lebih dahsyat daripada itu, Awang
masih ingat bagaimana sekumpulan penyokong pembangkang membuat
demonstrasi liar di depan istana dengan berbaring di atas jalan raya
menghalang kenderaan Sultan Perak.
Belum pernah institusi raja mengalami asakan sedemikian. Semua ini
makin ketara sejak pembangkang menang beberapa negeri pada Pilihan Raya
Umum 2008. Hasutan demi hasutan dilakukan sehingga segelintir warga
negara terdorong secara terbuka untuk memperlekehkan Raja Melayu
menerusi portal, blog dan laman sosial. Dengan kata lain, penderhakaan
dan pengkhianatan sudah menjadi-jadi. Apakah kita boleh sandarkan
harapan kepada pakatan pembangkang bagi mempertahankan Perlembagaan
negara dan institusi raja, yang jawapannya sudah tentu tidak.
Pada Awang, gejala tersebut sudah mencapai tahap ancaman kepada
keselamatan negara. Ia adalah sebahagian daripada usaha terancang untuk
menulis semula Perlembagaan dan akhirnya menjadikan Malaysia negara
republik.
Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ‘pencerobohan
besar bermula dengan pencerobohan kecil’. Sedikit demi sedikit, asas
kenegaraan mahu dirungkai. Kalau di negara beraja yang lain termasuk
Thailand, keadaan ini tidak akan dibenarkan berlaku.
Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, marilah kita bangkit
untuk mempertahankan institusi raja. Berdiam diri dan sekadar mengeluh
tidak akan membantu sama sekali. Ia hanya akan mengizinkan lebih banyak
penderhakaan, yang akhirnya mengakibatkan institusi raja sudah tiada
nilainya. Ancaman sudah di depan mata, apa lagi?.
/HWA: utusan.com.my | 15/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan