Pages

5 Mei 2012

Arab Saudi tidak sensitifkah?

KERAJAAN Saudi adalah diketahui oleh kerajaan dan rakyat Malaysia sebagai sangat sensitif terhadap sebarang teguran daripada rakyat negara-negara Islam lainnya, terutamanya jika ia membabitkan soal urusan haji atau ibadah di negara itu.
Dengan itu banyak perkara didiamkan atau dibenamkan sahaja oleh akhbar-akhbar di Malaysia demi untuk menjaga hubungan tradisi yang baik antara Malaysia dan Arab Saudi.
Malah suatu masa dahulu pernah berlaku seorang ketua pengarang akhbar terkemuka di negara ini disingkirkan oleh kerana dia telah membuat teguran yang keras terhadap kerajaan Arab Saudi.
Kita tahu mereka berkuasa besar untuk menambah jumlah jemaah haji dari Malaysia atau mengurangkannya setiap tahun. Maka itu apa juga teguran dan permintaan dari Arab Saudi akan dipatuhi oleh rakyat dan kerajaan Malaysia.
Sesungguhnya amat melukakan perasaan rakyat Malaysia apabila tunjuk perasaan yang mempunyai motif politik telah berlaku di Arab Saudi.
Adalah mustahil bagi kerajaan Arab Saudi yang mempunyai tenaga dan alat perisikan yang sangat canggih di dunia tidak mengetahui adanya rancangan tunjuk perasaan itu yang didalangi oleh parti pembangkang Malaysia dan membiarkannya berlaku.
Sebaliknya adalah mustahil tunjuk perasaan anti-Arab Saudi akan dibenarkan oleh kerajaan Malaysia diadakan di Malaysia jika ia bertujuan untuk memburukkan kerajaan Saudi atau pun yang bersifat anti-Saudi. Kejadian ini telah dapat dibendung oleh pihak keselamatan Malaysia sekalipun ada percubaan dibuat ketika Pas menyokong Revolusi Iran dulu. Nampaknya budi baik kerajaan Malaysia ini telah tidak dikenang dan dihargai.
Barang kali Arab Saudi sekarang merasakan negaranya selamat dari sebarang ancaman revolusi dalaman atau tekanan luaran maka itu tidak lagi memerlukan sokongan moral dari Malaysia dan kerana itu lebih mahu mendengar nasihat dari pihak lain yang ingin membawa perubahan rejim di Malaysia dan menyokong anasir-anasir mereka.
Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dapat menguruskan negaranya dengan baik dan menjalankan dasar terbuka yang memberikan perkongsian kuasa, keadilan ekonomi dan keharmonian untuk semua dan ini tentunya tidak menyenangkan pihak Barat yang mahu merendahkan Islam sebagai agama kolot dan jumud, tidak mempunyai sistem dan yang hanya dapat ditegakkan dengan hujung padang atau menerusi kekerasan.
Hal ini mungkin benar dengan kerajaan diktatorship di Asia Barat dan juga di negara-negara Islam lain dan Arab Saudi mungkin tidak dapat memahami perjalanan dasar Malaysia kerana ia mengamalkan suatu dasar demokrasi yang lain dari dasar demokrasi yang difahami oleh Malaysia sekalipun Malaysia mempunyai pemerintahan beraja. Hal ini tidak menjadi masalah selama ini, kerana ada rasa saling hormati-menghormati.
Rakyat Malaysia yang terluka terpaksa terus menunjukkan kehormatan dan persahabatan yang akrab dengan Arab Saudi kerana di sana ada rumah Allah untuk kita kunjungi.
/HWA: utusan.com.my | 4/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan