KERAJAAN Saudi adalah diketahui oleh kerajaan dan rakyat Malaysia
sebagai sangat sensitif terhadap sebarang teguran daripada rakyat
negara-negara Islam lainnya, terutamanya jika ia membabitkan soal urusan
haji atau ibadah di negara itu.
Dengan itu banyak perkara didiamkan atau dibenamkan sahaja oleh
akhbar-akhbar di Malaysia demi untuk menjaga hubungan tradisi yang baik
antara Malaysia dan Arab Saudi.
Malah suatu masa dahulu pernah berlaku seorang ketua pengarang akhbar
terkemuka di negara ini disingkirkan oleh kerana dia telah membuat
teguran yang keras terhadap kerajaan Arab Saudi.
Kita tahu mereka berkuasa besar untuk menambah jumlah jemaah haji
dari Malaysia atau mengurangkannya setiap tahun. Maka itu apa juga
teguran dan permintaan dari Arab Saudi akan dipatuhi oleh rakyat dan
kerajaan Malaysia.
Sesungguhnya amat melukakan perasaan rakyat Malaysia apabila tunjuk
perasaan yang mempunyai motif politik telah berlaku di Arab Saudi.
Adalah mustahil bagi kerajaan Arab Saudi yang mempunyai tenaga dan
alat perisikan yang sangat canggih di dunia tidak mengetahui adanya
rancangan tunjuk perasaan itu yang didalangi oleh parti pembangkang
Malaysia dan membiarkannya berlaku.
Sebaliknya adalah mustahil tunjuk perasaan anti-Arab Saudi akan
dibenarkan oleh kerajaan Malaysia diadakan di Malaysia jika ia bertujuan
untuk memburukkan kerajaan Saudi atau pun yang bersifat anti-Saudi.
Kejadian ini telah dapat dibendung oleh pihak keselamatan Malaysia
sekalipun ada percubaan dibuat ketika Pas menyokong Revolusi Iran dulu.
Nampaknya budi baik kerajaan Malaysia ini telah tidak dikenang dan
dihargai.
Barang kali Arab Saudi sekarang merasakan negaranya selamat dari
sebarang ancaman revolusi dalaman atau tekanan luaran maka itu tidak
lagi memerlukan sokongan moral dari Malaysia dan kerana itu lebih mahu
mendengar nasihat dari pihak lain yang ingin membawa perubahan rejim di
Malaysia dan menyokong anasir-anasir mereka.
Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dapat menguruskan negaranya
dengan baik dan menjalankan dasar terbuka yang memberikan perkongsian
kuasa, keadilan ekonomi dan keharmonian untuk semua dan ini tentunya
tidak menyenangkan pihak Barat yang mahu merendahkan Islam sebagai agama
kolot dan jumud, tidak mempunyai sistem dan yang hanya dapat ditegakkan
dengan hujung padang atau menerusi kekerasan.
Hal ini mungkin benar dengan kerajaan diktatorship di Asia Barat dan
juga di negara-negara Islam lain dan Arab Saudi mungkin tidak dapat
memahami perjalanan dasar Malaysia kerana ia mengamalkan suatu dasar
demokrasi yang lain dari dasar demokrasi yang difahami oleh Malaysia
sekalipun Malaysia mempunyai pemerintahan beraja. Hal ini tidak menjadi
masalah selama ini, kerana ada rasa saling hormati-menghormati.
Rakyat Malaysia yang terluka terpaksa terus menunjukkan kehormatan
dan persahabatan yang akrab dengan Arab Saudi kerana di sana ada rumah
Allah untuk kita kunjungi.
/HWA: utusan.com.my | 4/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan