MUSTAPA Mohamed (kiri) bersama Yahya
Khatib Mohamad (dua dari kiri) pada majlis penyerahan bendera Larian
UMNO sempena sambutan ulang tahun UMNO Ke-66 di Kampung Pachakan, Pasir
Puteh, Kelantan, semalam.
*****
PASIR PUTEH 3 Mei - Rakyat Kelantan semakin
menunjukkan gelombang perubahan dengan memberikan sokongan kepada UMNO
dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, ini kerana rakyat Kelantan termasuk penyokong Pas sendiri
semakin terhimpit dengan pelbagai permasalahan yang gagal diselesaikan
oleh Kerajaan Pas Kelantan.
Menurutnya, keadaan tersebut diburukkan lagi dengan dasar perjuangan
Pas yang semakin tersasar, ditambah dengan kenyataan Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan orang ramai menyertai
demonstrasi haram Bersih 3.0, sedangkan ia jelas mengakibatkan
kecederaan serta kerosakan harta awam.
"Bagi penyokong fanatik Pas, kenyataan Nik Abdul Aziz dianggap
sebagai fatwa yang tidak boleh diingkari. Apakah ulama turut memilih
pendekatan agresif yang menimbulkan keganasan dan huru-hara sedangkan
pendekatan lebih Islamik dan bertatasusila masih boleh dipraktikkan di
negara ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis
penyerahan bendera Larian UMNO sempena sambutan ulang tahun UMNO Ke-66
di Kampung Pachakan, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.
Bendera UMNO itu kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga
anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu dengan kehadiran lebih 3,000
penyokong parti dari kedua-dua negeri.
Mustapa berkata, Islam jelas tidak membenarkan perpecahan, huru-hara
dan keganasan seperti yang berlaku dalam Bersih 3.0 tetapi didakwa
sebagai 'wajib' oleh pemimpin Pas.
"Perjuangan Pas yang bersandarkan agama sudah berubah semata-mata
kerana kepentingan politik dan kerusi pilihan raya yang mahu dimenangi,"
katanya.
Menurutnya, UMNO juga berupaya untuk berdemonstrasi jika mahu
melakukannya, tetapi parti itu lebih mengutamakan ketenteraman dan
keselamatan negara.
Beliau berkata, hanya UMNO dan BN yang sentiasa membangunkan negara,
membela nasib rakyat secara menyeluruh termasuk di Kelantan dengan
menawarkan perkhidmatan terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat
seperti krisis bekalan air bersih, memperkasa pembangunan dan
mengurangkan pengangguran.
Mustapa berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak ke Kelantan esok turut menyuntik semangat jentera parti dan rakyat
bagi mengembalikan semula tampuk pentabdiran negeri kepada kerajaan
yang lebih cekap dan berwibawa.
/HWA: utusan.com.my | 4/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan