Pages

23 Mei 2012

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG tertarik dengan tindakan bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden menyertai pasukan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes perbicaraan berkaitan Bersih 3.0. Bukan apa, ini kerana sebelum ini Mohd. Yusof mengetuai pendakwaan kes liwat terhadap Anwar, yang kini anak guamnya.
Benar, tiada salah silapnya bagi Mohd. Yusof kini menjadi peguam bela Anwar tetapi resipinya cukup untuk menjadi sebuah berita menarik.
Namun, Awang tidaklah terkejut dengan perkembangan itu. Sebelum inipun, beberapa artis tiba-tiba berkongsi pentas dengan pemimpin pembangkang. Itu juga hak mereka untuk berbuat demikian. Cuma, bagi Awang, sekali lagi ia mempunyai nilai berita yang tersendiri.
Bagi Awang, pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau pernah dipelawa untuk menyertai sebuah parti politik pembangkang ketika masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia, juga mempunyai nilai berita tersendiri.
Berdasarkan pengalaman Musa itu, ia lebih mengungkapkan betapa parti pembangkang tertentu berusaha memancing para pegawai kanan kerajaan dan agensi penguat kuasa untuk bersama-sama mereka.
Walaupun itu juga hak mereka untuk berbuat demikian, namun bagi Awang ia penuh dengan percaturan politik yang tiada batas penghormatan kepada sebuah institusi penguat kuasa.
Mungkin, dengan cara membawa personaliti tertentu menyertai parti mereka, ia menjanjikan jalan pintas untuk menarik sokongan ramai dan populariti. Ia mungkin strategi bijak ketika mereka terlalu bimbang ketandusan sokongan.

Awang - Sekadar renungan.
/hwa: utusan.com.my | 23/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan