SEBUAH gerai burger yang dibuka
sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran Bersih 3.0 oleh wakil
Ikhlas di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara, Kuala Lumpur,
semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
*****
KUALA LUMPUR 10 Mei - Sikap sebenar pengerusi
Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga hari ini terserlah ketika sekumpulan 20
peniaga mewakili Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia
(Ikhlas) berhimpun di hadapan kediamannya di Jalan Setia Kasih 1, Bukit
Damansara, di sini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendesak Ambiga meminta maaf
secara terbuka kerana menganjurkan perhimpunan tersebut dan menjelaskan
pampasan kerugian yang dialami para peniaga pada perhimpunan Bersih 2.0
dan terbaru Bersih 3.0 di sekitar Dataran Merdeka pada 28 April lalu.
Sebaliknya, Ambiga menempelak sikap kumpulan tersebut sambil
menyifatkan tindakan mereka itu menceroboh privasi keluarga serta
jiran-jirannya.
Katanya, semua orang wajar ambil berat adakah boleh
sewenang-wenangnya mencerobohi privasi dengan berhimpun di luar kediaman
seseorang.
"Jika esok ada yang berhimpun hadapan rumah menteri. Adakah perbuatan itu patut digalakkan.
"Saya kata semua orang boleh buat tuntutan tetapi mereka tiada hak untuk berkumpul di hadapan rumah saya dan jiran-jiran saya.
"Mereka (jiran) semua takut dengan keadaan ini. Biar orang awam
menilai adakah perbuatan ini boleh dilakukan," katanya kepada pemberita
di hadapan kediamannya di sini.
Beliau yang sebelum ini mempertikaikan kredibiliti Polis Diraja
Malaysia (PDRM) memberitahu akan membuat laporan polis berhubung
kejadian tersebut.
Ambiga yang turut dikawal dua pengawal peribadi serta beberapa wakil
NGO, muncul selepas kira-kira 15 minit ahli-ahli Ikhlas membuka gerai
menjual burger dan berhimpun di hadapan kediamannya.
Malah, Ambiga menjelaskan tidak akan tunduk terhadap dua tuntutan
tersebut selagi tiada arahan daripada pihak mahkamah untuk beliau
berbuat demikian.
"Jika hakim suruh saya minta maaf, mungkin saya akan minta maaf,"
jelasnya yang menyelar tindakan Ikhlas sebagai perbuatan penakut dan
pengecut. Beliau bagaimanapun menegaskan tetap menyokong kebebasan
berhimpun.
Bagaimanapun, berlaku kekecohan beberapa minit antara salah seorang
wakil NGO yang mengiringi Ambiga dengan ahli-ahli Ikhlas apabila wanita
berkenaan mengatakan mereka semua yang berhimpun itu penyangak.
Situasi beberapa minit itu dileraikan apabila seorang pengawal
peribadi Ambiga meminta majikannya serta rakan-rakan yang menyebelahinya
masuk ke dalam rumah.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan